[VIDEO] Majlis praperkahwinan anak, lelaki terkaya Asia jamu 50,000 orang

A
A
A

NEW DELHI - Lelaki terkaya India telah memulakan majlis praperkahwinan mewah untuk anaknya dengan memberi makan kepada lebih 50,000 orang di kampung halamannya, dengan perayaan dalam beberapa hari akan datang dijangka dihadiri beberapa tokoh paling berpengaruh di dunia.

Mereka itu termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif teknologi global, industri besar, bintang Bollywood, ikon pop dan ahli politik yang bakal hadir pada Jumaat untuk sambutan selama tiga hari yang dihoskan hartawan terkemuka, Mukesh Ambani.

Ambani, 66, pengerusi gergasi petrokimia, Reliance Industries adalah individu terkaya di Asia menurut senarai jutawan yang disiarkan Forbes, dengan memiliki lebih daripada AS$114 bilion (RM541.96 bilion).

Pada Rabu, Ambani dan isteri, Nita bersama anak lelaki mereka, Anant dan tunangnya, Radhika Merchant mengadakan jamuan makan selama tiga hari untuk penduduk kampung di Jamnagar di negeri Gujarat, barat India.

Anant, 28 yang juga berkhidmat sebagai pengarah dalam lembaga pengarah beberapa firma milik Reliance, dijadualkan berkahwin dengan Merchant, 29, anak kepada seorang pemain industri hujung tahun ini.

Anant dijadualkan berkahwin dengan Merchant pada hujung tahun ini. Agensi
Anant dijadualkan berkahwin dengan Merchant pada hujung tahun ini. Agensi

Ambani mengadakan perkahwinan termahal di India untuk anak perempuannya pada 2018, yang dilaporkan menelan belanja AS$100 juta (RM475.40 juta) dan menyaksikan penyanyi pop terkenal Amerika Syarikat (AS), Beyonce membuat persembahan.

Bintang R&B, Rihanna, ahli ilusi, David Blaine dan Diljit Dosanjh akan membuat persembahan untuk tetamu yang dijangka turut dihadiri Pengasas Microsoft Bill Gates; Ketua Meta, Mark Zuckerberg dan beberapa pemimpin politik semasa dan bekas pemimpin, menurut senarai yang dikeluarkan oleh Reliance.

Artikel Berkaitan:

Antara yang turut dijemput ialah Ketua Disney, Robert Iger berikutan perjanjian yang dipersetujui semalam antara Reliance Industries dan Walt Disney untuk menggabungkan perniagaan media India mereka.

Penggabungan itu akan mewujudkan gergasi hiburan bernilai AS$8.5 bilion (RM40.41 bilion) di negara paling ramai penduduk dunia dan ekonomi kelima terbesar.

Tetamu lain yang dijemput termasuk Ivanka Trump, anak perempuan bekas presiden AS serta bekas Perdana Menteri Sweden, Carl Bildt, bekas Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper dan Raja Bhutan.

Bintang Bollywood, Amitabh Bachchan dan Shah Rukh Khan, ikon kriket, Sachin Tendulkar dan MS Dhoni dan titan industri, Gautam Adani juga dijemput dalam kumpulan elit yang sangat kaya di India.

Sambutan utama yang berlangsung mulai Jumaat hingga 3 Mac itu akan mempunyai tema, acara dan kod pakaian berbeza termasuk hari 'jungle fever' dengan lawatan ke pusat menyelamat haiwan yang dikendalikan oleh Ambani, lapor akhbar Hindustan Times. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!