82,000 Orang Asli layak terima STR, program penunaian diperluas

Amir Hamzah (dua dari kiri) beramah mesra bersama kakitangan Bank Simpanan Nasional pada Program STR Bagi Masyarakat Orang Asli di Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah hari ini. Foto Bernama
Amir Hamzah (dua dari kiri) beramah mesra bersama kakitangan Bank Simpanan Nasional pada Program STR Bagi Masyarakat Orang Asli di Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah hari ini. Foto Bernama
A
A
A

TAPAH - Seramai 82,000 masyarakat Orang Asli di seluruh negara layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) setakat ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan peruntukan berjumlah RM84.2 juta daripada keseluruhan RM10 bilion yang disediakan kerajaan tahun ini.

Menurutnya, di bawah skim tersebut masyarakat Orang Asli ini mempunyai pilihan sama ada mengeluarkan bantuan melalui kemasukan akaun bank atau penerimaan tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.

"Berdasarkan pangkalan data STR, daripada 82,000 masyarakat Orang Asli yang berdaftar dan layak menerima bantuan ini, didapati 14,000 orang tidak mempunyai akaun bank.

"Jadi penerimaan secara tunai ini juga sebenarnya amat membantu mereka kerana di beberapa tempat mungkin tidak ada fasiliti bank," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Rintis Penunaian STR 2024 bagi masyarakat Orang Asli daerah Batang Padang di Hutan Lipur Kuala Woh di sini pada Ahad.

Beliau berkata, sebagai menyokong pelaksanaan bantuan itu, Kementerian Kewangan telah memperluaskan program penunaian STR agar bantuan diberikan sampai kepada penerima terutama mereka yang tinggal di pedalaman.

Amir Hamzah (dua dari kanan) beramah mesra bersama warga emas yang juga penerima bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di kaunter pendaftaran MyKasih di Pasaraya TF Value hari ini. Foto Bernama
Amir Hamzah (dua dari kanan) beramah mesra bersama warga emas yang juga penerima bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di kaunter pendaftaran MyKasih di Pasaraya TF Value hari ini. Foto Bernama

Katanya, selepas daerah Batang Padang, program dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), BSN dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu akan dilaksanakan di Hulu Perak, Lipis dan Rompin di Pahang serta Gua Musang, Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Melalui program hari ini sahaja, ada lebih 400 penerima STR kalangan Orang Asli hadir dan kita bantu mereka mendaftar serta memberi penerangan mengenai bantuan skim STR.

"Dengan usaha begini, secara tidak langsung kita dapat meningkatkan kefahaman serta kecelikan mereka dalam pengurusan kewangan," katanya.

Sumbangan Tunai Rahmah merupakan bantuan tunai yang diberikan kepada rakyat Malaysia daripada golongan miskin, B40 dan M40 mengikut kategori bujang, isi keluarga dan warga emas.

Bagi fasa 1, penerima kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima RM500, isi rumah berpendapatan RM2,501-RM5,000 menerima RM100 hingga RM300, manakala warga emas tiada pasangan dan golongan bujang, masing-masing menerima RM150 dan RM100.