'Tuduhan tanpa kehadiran terhadap menantu Muhyiddin pilihan terakhir'

Azam ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024 di sebuah hotel. Foto Bernama
Azam ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024 di sebuah hotel. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tuduhan tanpa kehadiran terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan menjadi pilihan terakhir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengambil tindakan perundangan berkait kes berkenaan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, bagaimanapun pihaknya belum mengambil pendekatan itu berikutan yakin Muhammad Adlan masih boleh dikesan dan balik ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan tersebut.

"Memang kita sekarang ini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap dia (Muhammad Adlan) tetapi kita belum memutuskan untuk menuduh tanpa kehadiran.

"Tuduhan tanpa kehadiran ini memang boleh dibuat tetapi itu adalah pilihan terakhir kerana saya percaya dia masih boleh dikesan dan dibawa balik ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada petugas media selepas perasmian Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di sebuah hotel pada Khamis.

Pada Oktober lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan telah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk permohonan notis merah terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat.

Beberapa dokumen termasuk draf pertuduhan kes membabitkan dua individu terlibat telah diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan Notis Merah.

Tindakan memanggil Muhammad Adlan dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Artikel Berkaitan:

Semakan rekod oleh SPRM mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Pada 22 Februari, Azam Baki dilaporkan mengesahkan siasatan ke atas Muhammad Adlan sudah dilengkapkan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28