Pelajar Tingkatan Dua hilang di taman permainan

Sofea Auni Adilah dipercayai hilang sejak Selasa lalu.
Sofea Auni Adilah dipercayai hilang sejak Selasa lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pelajar Tingkatan Dua dipercayai hilang ketika pergi ke taman permainan di rumah ibunya di Bandar Aman Jaya, di sini pada petang Selasa.

Sofea Auni Adilah Sofan Feroza, 14, pergi ke taman permainan tersebut pada jam 7 petang dengan memakai baju sejuk dan seluar berwarna hitam.

Bapanya, Sofan Feroza Md Yusof, 45 yang merupakan calon Bebas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu berkata, mereka sekeluarga risau keselamatan anak bongsu dari tiga beradik itu yang gagal dihubungi sejak petang Selasa lalu.

"Sofea Auni sebelum ini tinggal bersama saya di Alor Setar tetapi disebabkan cuti persekolahan, dia pergi ke rumah ibunya yang baru berpindah ke situ.

"Saya dan bekas isteri sudah lama berpisah dan ketika cuti sekolah ini, Sofea Auni hendak tinggal bersama ibunya, Hasmawati Derani, 46, sebelum sekolah bermula," katanya pada Khamis.

Jelas Sofan Feroza, pada hari kejadian, anaknya itu memberitahu neneknya yang dia hendak ke taman permainan di kawasan perumahan itu namun tidak pulang ke rumah.

"Saya dan ibunya cuba menghubungi telefon bimbitnya berkali-kali tetapi tidak dijawab malah cuba menghubungi kawan-kawannya tetapi mereka tidak tahu kehilangannya," ujar beliau.

Sofan Feroza berkata, sesiapa yang menemui anaknya boleh menghubunginya di talian 019-5007303.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu sudah dibuat di Balai Polis Sungai Petani pada Rabu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28