Anjing serang jiran, pemilik didenda RM15,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Tindakan seorang mekanik tidak menjaga keperluan anjingnya sehingga haiwan itu mencederakan jiran mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhi lelaki itu hukuman denda RM15,000 pada Khamis.

Yee Chan Fai, 37, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhi hukuman, Wan Mohd Norisham berkata, tertuduh sepatutnya mengawal dan mengikat anjing dalam pagar rumah supaya ia tidak mencederakan orang awam.

"Kamu seharusnya tidak mengabaikan anjing itu dan membiarkan pagar terbuka sehingga ia mengejar dan mencederakan orang lain.

"Dalam kes ini, pengadu yang juga mangsa mengalami kecederaan dan alami kerugian kerana perlu membayar denda, (sedangkan) anjing itu yang mencederakannya kerana sifat cuai kamu," kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan keperluan haiwan itu dipenuhi sehingga menyebabkan kecederaan kepada individu lain di sebuah rumah di Taman Saga di sini, pada jam 9 pagi, 24 Mei 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 24 (1)(a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(3) akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan tidak lebih RM75,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Mengikut fakta kes, pengadu itu telah melarikan diri ketika diserang anjing kepunyaan OKS sehingga dia terjatuh dan mengalami kecederaan di lutut, siku selain lebam di muka.

Pengadu kemudian mengejar semula anjing itu sebelum memukulnya dengan sebatang kayu sehingga ia berdarah di bahagian ekor.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah menjatuhi OKS hukuman berat dengan mengambil kira faktor keselamatan orang awam dan pengajaran kepada pemilik anjing yang lain.

"Pengadu (jiran OKS) sebelum ini sudah didenda RM23,000 kerana memukul anjing itu, malah dia menanggung kos guaman dan perubatan," katanya.

Sementara itu, peguam, Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili OKS, merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda yang ringan atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapa, kakak serta dua anak berusia enam dan lapan tahun.

"OKS tidak pernah disabitkan atas sebarang kesalahan sebelum ini dan dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang," katanya.

Pada 8 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan, mangsa dalam kejadian ini, iaitu seorang lelaki warga emas didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana memukul seekor anjing betina menggunakan kayu sehingga berdarah.

Yong Kay Sang, 62, selaku OKS dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28