Sanusi akan kemuka representasi gugur dua kes menghasut

Sanusi (kiri) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis bagi sebutan dua kes menyebut perkataan menghasut, tahun lalu.
Sanusi (kiri) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis bagi sebutan dua kes menyebut perkataan menghasut, tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembelaan bagi pihak Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, bahawa Menteri Besar Kedah ini akan mengemukakan representasi untuk menggugurkan dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong dalam satu ceramah, tahun lalu.

Semasa prosiding di hadapan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin, peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Sanusi, 50, berkata, representasi itu akan dihantar kepada Peguam Negara (AG) dalam masa terdekat.

"Susulan itu, kami mohon mahkamah dapat memberi masa selama empat bulan bagi proses representasi berkenaan.

"Saya rasa ini penting kerana terdapat beberapa perkara yang tiada dalam dokumen yang ingin kami timbulkan kepada AG," katanya.

Disebabkan perkara itu, beliau memohon tarikh perbicaraan tidak ditetapkan sehingga permohonan untuk membatalkan pertuduhan membabitkan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ini, dimuktamadkan atau diputuskan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob membantah perkara berkenaan dan memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.

"Dalam tempoh itu, pasukan pembelaan boleh mengemukakan representasi dan mereka mempunyai masa sebelum ia diteliti untuk ditaklimatkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hakim kemudiannya menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan kes bagi status representasi pemimpin Kedah tersebut.

Sementara itu, Awang Armadajaya berkata, pembelaan juga memohon supaya senarai saksi pendakwaan dapat dapat diserahkan kepada mereka dalam tempoh tujuh hari.

Menurutnya, senarai itu akan membolehkan pihaknya menyediakan representasi kelak, namun permohonan berkenaan tidak dipersetujui oleh pendakwaan.

Ditanya mengenai bilangan saksi, Abdul Malik berkata, seramai 10 individu akan dipanggil memberi keterangan terhadap Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat ini.

Aslam menetapkan prosiding perbicaraan berlangsung selama 10 hari bermula 22, 23, 26, 29 dan 30 Julai, serta 5, 6, 9, 12 dan 13 Ogos.

Pada 18 Julai 2023, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 1 Februari lalu, Sanusi berjaya dalam permohonannya untuk memindahkan dua pertuduhan itu ke Mahkamah Tinggi di sini.

Pertuduhan itu dibacakan semula, dengan Sanusi mengekal pengakuan tidak bersalah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28