Laskar Kanan Maritim hadapi 12 pertuduhan rasuah

Mohd Fazli (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Khamis.
Mohd Fazli (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai kanan agensi penguatkuasa di Kedah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas 12 tuduhan rasuah membabitkan jumlah RM3,900 pada Julai hingga Disember 2018.

Walau bagaimanapun, Laskar Kanan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Mohd Fazli Azizan, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini, pada Khamis.

Berdasarkan pertuduhan, semua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Maybank Islamic Centre, Jalan Sultan Badlishah, dekat sini.

Kesalahan tersebut dilakukan pada 5 julai, 5 Ogos, 12 September, 19 Oktober, 25 Oktober, 26 Oktober, 1 November, 21 September, 3 Oktober, 9 November, 15 November dan 2 Disember.

Mohd Fazli didakwa telah menerima untuk dirinya suatu barang berharga dengan tiada balasan melalui pindahan akaun Maybank Islamic Berhad dari Tan Kok Seng melalui Lee Chuan Liang iaitu antara RM100 hingga RM600 dalam tempoh tersebut.

Dia didakwa mengetahui Kok Seng mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya di Maritim Malaysia.

Kesemua kes didakwa di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah, boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Sementara itu, pegawai Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhamad Taufik Awaludin dan Mohd Syahzada Azad Sanusi memohon mahkamah memberikan ikat jamin sebanyak RM5,000.

Artikel Berkaitan:

Peguambela yang mewakili tertuduh, Syed Naqiuddin Shahab pula memohon mahkamah memberikan ikat jamin RM2,000 memandangkan anak guamnya perlu menyara dua isteri dan tiga anak.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan sepanjang perbicaraan.

Kes akan didengar semula pada 27 Mac depan bagi penyerahan dokumen berkaitan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!