Berkhemah di hutan tapi berkaraoke mengalahkan beruk

Pada hari cuti terutama Sabtu dan Ahad, pusat rekreasi akan dipenuhi pengunjung tanpa mengira bangsa yang meminati aktiviti berkhemah sambil menikmati keindahan alam. - Gambar hiasan
Pada hari cuti terutama Sabtu dan Ahad, pusat rekreasi akan dipenuhi pengunjung tanpa mengira bangsa yang meminati aktiviti berkhemah sambil menikmati keindahan alam. - Gambar hiasan
A
A
A

Baru-baru ini Merak Jalanan memanfaatkan hari cuti dengan pergi berkhemah dan bermalam bersama beberapa rakan lama di satu kawasan rekreasi tidak jauh dari Kuala Lumpur.

Aktiviti sebegini bukan lagi asing buat rakyat Malaysia termasuk yang sudah berkeluarga. Pada hari cuti terutama Sabtu dan Ahad, pusat rekreasi akan dipenuhi pengunjung tanpa mengira bangsa yang meminati aktiviti berkhemah sambil menikmati keindahan alam.

Apa yang Merak Jalanan rasa terkilan ialah sikap segelintir penggemar hobi ini yang tidak ambil peduli privasi pengunjung lain apabila berkaraoke dan bergelak sakan sehingga larut malam.

Haiwan-haiwan di hutan seperti monyet dan beruk pun tahu senyap pada waktu malam, tapi manusia pula yang membuat bunyi bising memecah kesunyian belantara.

Sekitar jam 11 malam atau sehingga lewat 12 tengah malam, ia tidak menjadi halangan untuk berseronok kerana rata-rata mereka yang berkhemah akan berkumpul berbual dan saling gelak ketawa.

Tapi jika sudah melepasi waktu itu, ia sudah dikira satu gangguan malah ada yang siap bawa set karaoke kononnya mahu melepaskan tekanan.

Apabila ditegur, bukan main melenting dengan alasan ia perkara biasa bagi memeriahkan suasana dan nampak lebih ‘kecoh’ jika dibandingkan dengan orang skema.

Lebih menyakitkan hati bila ada segelintir pula yang suka berborak kuat dengan ketawa tanpa henti ketika orang lain sedang nyenyak tidur di dalam khemah masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Tidak kurang juga yang tanpa rasa bersalah menyidai pakaian basah di khemah jiran. Meskipun sudah bersuai kenal dan bukan isu besar, tetapi ia tidak boleh dianggap remeh kerana mengundang rasa tidak selesa.

Pada pandangan Merak Jalanan, jika tidak boleh duduk diam di hutan pada waktu malam, lebih baik melepak di kedai makan sahaja.