Harga emas naik kepada AS$2,200 setiap auns troy tahun ini - MGA

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Emas Malaysia (MGA) mengunjurkan harga emas naik kepada AS$2,200 setiap auns troy (AS$1=RM4.76) pada tahun ini daripada AS$2,030 pada masa ini berikutan permintaan yang meningkat terhadap logam itu.

Presidennya, Datuk Louis Ng menjelaskan, permintaan meningkat itu disebabkan bank pusat membeli emas sebagai lindung nilai terhadap mata wang.

"Ia bukan sahaja digunakan oleh bank pusat tetapi juga peruncit berikutan ketidaktentuan ekonomi.

"Terdapat perang di Timur Tengah dan perang Rusia-Ukraine, justeru permintaan untuk emas sangat tinggi,” katanya kepada media di luar Persidangan Emas Malaysia (MGC) 2024 di sini pada Rabu.

Mengenai Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT), Louis meminta kerajaan menetapkan nilai ambang harga munasabah RM50,000 untuk barang kemas dengan kadar cukai sebanyak lima peratus.

"Industri barang kemas amat penting untuk pasaran Malaysia. Kami mempunyai ribuan kedai dan kilang barang kemas. Oleh itu, jika nilai ambang tidak ditetapkan, ia akan memberi impak yang besar kepada industri seperti kehilangan pekerjaan,” katanya.

MGA pada Rabu menganjurkan edisi kedua MGC sebagai platform untuk memacu industri logam berharga itu di peringkat tempatan melalui pelbagai aktiviti daripada penglibatan aktif dalam penggubalan dasar hingga mengekalkan piawaian emas serantau.

Persidangan itu menghimpunkan lebih 300 pemimpin logam berharga global dan pemain industri dari pelbagai negara untuk berkongsi pandangan mengenai trend pasaran emas global dan mengetengahkan potensi emas untuk perdagangan antarabangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28