Ruang penginapan pekerja panas, sempit

JTK Kedah mengesan empat premis penginapan pekerja di Bukit Selambau dan Kulim yang gagal menyediakan penginapan kondusif kepada pekerja. Foto Bernama
JTK Kedah mengesan empat premis penginapan pekerja di Bukit Selambau dan Kulim yang gagal menyediakan penginapan kondusif kepada pekerja. Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah mengesan empat premis penginapan pekerja di Bukit Selambau dan Kulim yang gagal menyediakan penginapan kondusif kepada pekerja selain tidak memiliki perakuan penginapan pekerja daripada jabatan terbabit.

Pengarah JTK Kedah, Arzanil Bahadon berkata, sebanyak 22 kertas siasatan akan dibuka terhadap majikan berkenaan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].

"Dalam serbuan dua hari bermula semalam, kita (JTK Kedah) telah memeriksa enam premis iaitu tiga di Kulim dan tiga di Bukit Selambau dengan empat daripadanya didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

"Enam premis penginapan pekerja sektor pembuatan itu menempatkan 303 pekerja tempatan dan lebih kurang 871 pekerja warga asing," katanya pada sidang media selepas Op Bersepadu Mega Gegar di kawasan perindustrian Bukit Selambau dekat sini pada Rabu.

JTK Kedah bersama agensi dan juga beberapa jabatan luar yang dikenali sebagai agensi sahabat menggembleng tenaga melaksanakan Ops Bersepadu Mega Gegar selama dua hari bermula semalam. Foto Bernama
JTK Kedah bersama agensi dan juga beberapa jabatan luar yang dikenali sebagai agensi sahabat menggembleng tenaga melaksanakan Ops Bersepadu Mega Gegar selama dua hari bermula semalam. Foto Bernama

Beliau berkata, penguatkuasaan bersepadu berkenaan antara mekanisme dilakukan JTK Kedah bagi memastikan kebajikan pekerja terjamin.

"Berdasarkan pemerhatian dalam operasi hari ini, memang tidak kondusif, kemudahan asas tidak mencukupi seperti katil tanpa tilam, kebersihan persekitaran juga teruk, tiada penyelenggaraan dibuat di premis.

"Keadaan bilik juga agak panas dan kedudukan katil yang padat menjadikan ruangan sempit untuk bergerak. Jika berlaku kecemasan, kita bimbang mereka (pekerja) sukar keluar (menyelamatkan diri) dari premis dengan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Arzanil, operasi berkenaan membabitkan 22 pegawai dan petugas JTK Kedah, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Imigresen (JIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kebanyakan pekerja yang tinggal di premis terbabit terdiri dalam kalangan warga Myanmar, Nepal dan Bangladesh. Satu daripada premis berkenaan didapati pernah diserbu kira-kira dua tahun lepas, namun masih melakukan kesalahan sama," katanya.

Beliau berkata, JTK akan meneruskan operasi bagi memastikan kebajikan pekerja dipelihara dan keharmonian perburuhan negara terus diperkasa. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28