54 peratus pegawai perubatan tinggalkan sektor awam

Dr Dzulkefly Ahmad ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Dr Dzulkefly Ahmad ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 54 peratus daripada 100,696 pegawai perubatan meninggalkan sektor perkhidmatan awam pada 2022 atas faktor menerima tawaran untuk berkhidmat di sektor swasta atau badan berkanun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, menerusi kajian yang dibuat, didapati 45 peratus daripada jumlah itu bekerja di luar negara.

"Selain itu, 28 peratus (meninggalkan perkhidmatan awam) disebabkan alasan peribadi, menerima tawaran berkhidmat di institusi pengajian tinggi awam (enam peratus), melanjutkan pelajaran (2.7 peratus), membuka klinik sendiri (0.8 peratus) dan 0.5 peratus tidak menyatakan sebarang alasan," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu punca pegawai perubatan berhenti daripada sektor awam pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dzulkefly berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan pegawai perubatan kekal bersama sektor awam antaranya menetapkan gaji permulaan pegawai kontrak gred UD41 sebanyak RM5,197, iaitu jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding skim perkhidmatan awam lain.

Selain itu, kerajaan meningkatkan jumlah 9,822 pegawai lantikan tetap dalam tempoh 2019 - 2023, dengan pertambahan sebanyak 6,000 orang lagi untuk 2024 - 2025.

Dzulkefly berkata, kerajaan juga menyediakan insentif penawaran pengajian kepakaran menerusi kemudahan cuti belajar bergaji penuh dengan Hadiah Latihan Persekutuan dan Program Latihan Kepakaran.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau meminta semua pihak untuk tidak membuat andaian berhubung skim pencen penjawat awam dan menunggu sehingga keputusan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang dilaksanakan pada masa ini diumumkan.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai perancangan jangka pendek dan panjang kementerian bagi menarik minat graduan perubatan untuk kekal berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara susulan kajian menghapuskan skim pencen penjawat awam. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28