Anwar beri kepercayaan tinggi kepada perkhidmatan awam

Anwar bersama Mohd Zuki Ali pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Perdana Menteri pada 25 November 2022. - Foto Bernama
Anwar bersama Mohd Zuki Ali pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Perdana Menteri pada 25 November 2022. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberi kepercayaan tinggi kepada perkhidmatan awam dalam melaksanakan agenda pembangunan negara, serta meletakkan Malaysia di trajektori yang tepat menuju ke arah sebuah negara maju.

Begitu pandangan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, yang juga melihat penekanan dan penegasan Perdana Menteri mengenai keperluan kerajaan dan perkhidmatan awam memiliki tatakelola pentadbiran yang amanah dan berintegriti.

"Perdana Menteri kata kita (penjawat awam) kena bina semula negara, yang pada satu ketika dahulu berada di tahap baik. Kita pulihkan ekonomi dan kita mampu jana pendapatan lebih tinggi kepada negara,” katanya dalam satu wawancara bersama media.

Mohd Zuki ketika sesi temu bual sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini. - Foto Bernama
Mohd Zuki ketika sesi temu bual sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini. - Foto Bernama

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri itu membuatkan penjawat awam selesa menjalankan tugas, dan Anwar juga memberi perhatian soal kebajikan penjawat awam termasuk pelaksanaan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

"Kita bekerja satu sinergi, apabila Perdana Menteri iaitu orang nombor satu percaya keupayaan kita, penjawat awam kita selesa jalankan tugas. Apa jua pandangan penjawat awam akan dihargai dan diminta pandangan.

"Paling mustahak ialah dia (Anwar), mintak penglibatan seluruh penjawat awam untuk sama-sama berganding bahu untuk gerakkan dan bangunkan negara ini. Insya-Allah, perkara utama untuk diberikan kebajikan penjawat awam antaranya peluang kenaikan pangkat, gaji dan elaun,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022, lima hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebelum mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember 2022.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kajian kepuasan penjawat awam terhadap Kerajaan Perpaduan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Mohd Zuki berkata, penjawat awam berpendapat kerajaan berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

"Dapatan kajian keseluruhannya secara purata puas hati (dengan kerajaan), yang kritikal ialah kebajikan (penjawat awam) itu tidak ditinggalkan. Harap terjemahkan sikap keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam, dibalas balik dengan perkhidmatan terbaik digagaskan Perdana Menteri,” katanya.

Mohd Zuki berkata populariti dan profil tinggi Anwar di luar negara, memudahkan urusan mempromosikan Malaysia serta kemasukan pelabur asing ke dalam negara.

"Saya bercakap dengan pegawai di Kementerian Luar, mereka cakap Perdana Menteri mempromosikan sendiri negara. Perdana Menteri sendiri ada pencapaian tinggi di peringkat antarabangsa, nampaknya tugas pegawai Kementerian Luar lebih mudah. Kita hanya follow through apa yang beliau telah laksanakan,” katanya.

Mengenai penerapan nilai Madani dalam perkhidmatan awam, Mohd Zuki berkata, Perdana Menteri amat menitikkan budaya kerja berasaskan nilai Madani, yang memfokuskan usaha membina masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian serta pembangunan.

Pada 19 Januari, Anwar memperkenalkan Malaysia Madani sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Madani itu diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

"Perdana Menteri gagaskan Madani dan saya bawa The G.R.E.A.T Civil Service merujuk kepada Good governance (tadbir urus baik), Responsibility (bertanggungjawab), Empathy (ihsan), Accountability (kebertanggungjawaban) dan Tenacity of purpose (fokus pada matlamat). Visi saya bawa lebih kepada bertujuan menyokong nilai Madani untuk kita laksanakan dalam konteks perkhidmatan awam,” kata Mohd Zuki.

Menyingkap setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Ahli Parlimen Tambun itu, Mohd Zuki memuji usaha Perdana Menteri yang memberi penekanan isu-isu fundamental seperti tandas sekolah, klinik daif serta perkara asas rakyat lain.

"Bagi Perdana Menteri, (isu tandas sekolah) merupakan perkara asas dan kalau tandas tidak boleh dijaga, macam mana nak beri keselesaan kepada murid dan macam mana ingin dapatkan pendidikan sempurna, itu sebab beliau beri penekanan.

"Perdana Menteri juga tekankan tidak kisah jika beliau tidak dikenali sebagai Perdana Menteri yang tidak bina gedung tinggi, tetapi fokusnya isu di bawah, contohnya gerai sempurna sebab Malaysia bukan dinikmati hanya orang kaya tetapi seluruh rakyat Malaysia. Itu keutamaan dia,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri amat menekankan pelaksanaan dasar atau projek pembangunan yang cepat, namun aspek tatakelola perlu dipatuhi tanpa kompromi.

Mohd Zuki berkata, Perdana Menteri begitu menekankan inisiatif kebajikan rakyat seperti yang terkandung dalam Belanjawan 2024.

"Tiada rakyat ditinggalkan dengan perbelanjaan peruntukan besar dan isu keprihatinan dan kebajikan rakyat diberi perhatian,” katanya.

Mohd Zuki berkata, Anwar turut menekankan perbelanjaan berhemah bagi mengelak pembaziran dan mendapatkan penjimatan dalam petadbiran kerajaan. - Bernama


Tiada perunding luar digunakan dalam perkhdimatan awam

PUTRAJAYA - Khidmat perunding luar tidak akan digunakan dalam perkhidmatan awam kecuali dalam keadaan kepakaran tertentu tidak dimiliki, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, ia sejajar dengan kepercayaan tinggi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memimpin Kerajaan Perpaduan terhadap keupayaan penjawat awam dalam melaksanakan projek dan agenda pembangunan, daripada bergantung kepada khidmat perunding luar.

"Sebab itu Perdana Menteri selalu sebut dulu di peringkat awal kita sering kali melantik perunding untuk menjalankan tugas (tetapi) beliau selalu berkata, tidak, tidak, tidak.

"Kamu semua (penjawat awam) ada keupayaan untuk melaksanakan tugasan, jadi diberikan kita (penjawat awam) peranan untuk membangunkan negara,” katanya dalam wawancara sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Zuki (kiri) ketika sesi temu bual sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini. - Foto Bernama
Mohd Zuki (kiri) ketika sesi temu bual sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini. - Foto Bernama

Mohd Zuki berkata, pelaksanaan projek pembangunan kerajaan yang melibatkan kumpulan penjawat awam sepenuhnya dapat mengurangkan kos perbelanjaan pelaksanaan kerana perunding luar dibayar sehingga mencecah ratusan ribu ringgit terutamanya jika melibatkan perunding dari luar negara.

Sekarang ini, kata beliau, kerja-kerja rundingan membabitkan projek pembangunan dilakukan sepenuhnya oleh penjawat awam termasuk membuat rangka tindakan, yang membuktikan kumpulan penjawat awam berkeupayaan untuk melaksanakan tanggunjawab yang diberikan.

Beliau berkata, menggunakan khidmat perunding dalaman juga dapat mempercepatkan pelaksanaan projek dengan kerjasama penjawat awam rentas kementerian yang akan bekerja sebagai satu pasukan.

"Contohnya projek sekolah daif di SK (Sekolah Kebangsaan) Bandar Baru Bangi yang berjaya disiapkan dalam tempoh 22 hari sahaja berbanding jangkaan awal mungkin mengambil masa hampir setahun.

"Dulu kalau nak bina sekolah-sekolah ini kena lantik perunding luar bagi khidmat arkitek, jurutera, juruukur bahan dan sebagainya, tetapi sekarang semua kita buat dalaman, ada pegawai teknikal iaitu seperti pasukan perunding dari Jabatan Kerja Raya sendiri, ” katanya.

Ini kerana pelbagai prosedur yang menjadi kekangan contohnya seperti proses perolehan bagi projek menaik taraf sekolah daif mengambil masa lama sehingga tiga bulan, sedangkan sekolah tersebut perlu diperbaiki dengan cepat, kata beliau.

Mohd Zuki berkata, penjawat awam seharusnya bersedia untuk menjalani latihan untuk menimba pengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang yang diperlukan dalam projek pembangunan trersebut.

Menurutnya, Perdana Menteri amat menggalakkan penjawat awam mengikuti kursus-kursus bersifat jangka sederhana di syarikat konglomerat yang besar dan berjaya seperti menerusi Program Penempatan Silang.

"Sudah ada yang dihantar ke Petronas, dan beliau (Anwar) meminta lebih ramai lagi (dihantar)... kalau boleh peringkat kedua. Makanya, pelapis-pelapis yang akan menjadi ketua di masa akan datang lebih bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab. Kita kena buktikan dengan memberikan perkhidmatan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zuki berkata penggunaan khidmat kepakaran dalaman juga merupakan satu langkah untuk mengelakkan pertindihan kerja antara perunding luar dengan kakitangan dalam projek-projek yang akhirnya mengakibatkan kerugian kepada kerajaan.

Mohd Zuki berkata, menerusi inisiatif Bitara Madani yang menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang dipengerusikannya juga bertindak mempercepatkan pelaksanaan projek penyelenggaraan kecil berkepentingan rakyat.

"Untuk pelaksanaan sesebuah projek contohnya kita perlu rujuk 10 agensi, jadi kenapa kita tidak wujudkan pusat sehenti? Jadi di sini STAR sebagai pemudah cara, semua agensi berkaitan bekerja sebagai satu pasukan, ia akan mempercepatkan (pelaksanaan),” katanya.

Beliau berkata, kerjasama rentas kementerian merupakan satu manifestasi kejayaan STAR tanpa menggunakan khidmat perunding dalam pembangunan negara.

Ditanya mengenai perancangan pada tahun hadapan, beliau berkata Perdana Menteri akan memfokuskan terhadap perihal seperti penyelenggaraan lif, penyediaan gerai bagi membantu komuniti setempat menjalankan perniagaan, serta menyediakan lebih banyak kemudahan kuarters untuk penjawat awam, dan tandas yang bersih di sekolah. - Bernama