Hukum guna duit koyak untuk transaksi

KETAHUI pandangan Islam tentang penggunaan duit koyak untuk urusan jual beli. -Gambar hiasan
KETAHUI pandangan Islam tentang penggunaan duit koyak untuk urusan jual beli. -Gambar hiasan
A
A
A

ADAKALANYA wang baki yang diterima koyak di bahagian tertentu tanpa kita menyedarinya. Hanya apabila ingin dibelanjakan, barulah perasan ‘kecacatan’ tersebut.

Sudahlah hanya itu satu-satunya not kertas yang ada. Kedai itu pula tidak menerima pembayaran tanpa tunai.

Pening juga dibuatnya andai kita mengalami situasi begitu. Akhirnya, ada yang terpaksa guna juga not kertas tersebut.

Namun begitu, ada pandangan mengatakan tidak elok berbuat demikian. Kasihan pada peniaga atau orang yang menerimanya kerana ia sudah koyak dan mungkin tidak laku.

Bagaimana pula pandangan Islam tentangnya?

Menjawab kemusykilan dilontarkan oleh warganet itu, pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, terlebih dahulu kita perlu jelas tentang wang tersebut sama ada ia koyak yang masih laku atau tidak.

USTAZ AZHAR IDRUS
USTAZ AZHAR IDRUS

Artikel Berkaitan:

“Jadi bertanyalah kepada orang yang arif iaitu pihak bank. Jika pihak mereka berkata, koyak begini tidak laku melainkan jika dilekat dan kita melakukannya sebagaimana disuruh, ia tiada masalah (gunakan duit tersebut),” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang disiarkan di laman YouTube miliknya.

Bagaimanapun, situasi sebaliknya andai kita menggunakan duit koyak tadi dengan menyembunyikan cela yang ada padanya.

“Contohnya, duit koyak sebelah (bahagian) dan sebelah (bahagian) lagi tidak jumpa. Kita pun beli susu, lipat-lipat (duit koyak tadi) tak nampak.

“Jelaslah di situ (kita berniat) nak tipu orang. (Perbuatan) Itu haram,” katanya.

Sebaiknya, Azhar menyarankan agar kita menunjukkan keadaan wang tersebut secara terang-terangan kepada peniaga atau individu yang terlibat dalam urus niaga itu.

“Kalau kita tunjuk terang-terang ‘duit koyak ini nak beli (barang) boleh tak?’ Kalau tuan kedai kata, ‘aku nak duit koyak’, bolehlah kita beli (guna wang koyak tersebut). Biar dia nampak,” ungkapnya.

Merujuk kepada laman sosial Facebook Bank Negara Malaysia, terdapat beberapa ciri-ciri wang kertas yang tidak sesuai digunakan untuk transaksi.

Berikut perinciannya:

ELAKKAN unsur penipuan ketika berurus niaga. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik
ELAKKAN unsur penipuan ketika berurus niaga. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

1. Kotor - Kekotoran menyeluruh atau ada tompokan yang terdapat pada permukaan wang kertas.

2. Renyuk - Pengecutan wang polimer akibat terlampau terdedah kepada kepanasan.

3. Berconteng - Tulisan atau contengan pada permukaan wang kertas.

4. Luntur warna - Luntur pada pada kertas.

5. Koyak - Wang kertas yang terkoyak sebarang saiz atau dari mana-mana bahagian.

6. Terdapat kesan terbakar atau rosak (disebabkan oleh anak-anai dan sebagainya) - Terbakar atau rosak dimakan anai-anai pada mana-mana bahagian atau sebarang saiz.

7. Berlubang.

8. Berlipat - Lipatan dan garisan kekal pada wang kertas.

9. Bercantum - Beberapa bahagian daripada dua atau lebih helai wang kertas yang berlainan, tetapi dicantum semula menjadi sehelai wang kertas dengan menggunakan pita pelekat.

10. Ubah suai - Wang kertas diubah suai menggunakan pita pelekat.

11. Hilang ciri-ciri keselamatan - Contohnya jalur LEAD pada wang kertas.

Menerusi video yang dikongsikan itu, Bank Negara Malaysia menjelaskan, wang kertas dengan ciri-ciri yang disenaraikan itu tidak patut diterima atau digunakan dalam sebarang transaksi.

“Ia boleh ditukar di mana-mana bank, tetapi pertukarannya bergantung kepada keadaan wang kertas tersebut,” katanya.