Awas jika beramal semata-mata kerana kejar nikmat dunia

ANTARA kesalahan besar dalam beribadah adalah ia dilakukan kerana mahu menggapai suatu nikmat dunia.
ANTARA kesalahan besar dalam beribadah adalah ia dilakukan kerana mahu menggapai suatu nikmat dunia.
A
A
A

“AKU nak buat solat duha hari-hari, nanti ALLAH murahkan rezeki aku.”

“Esok nak puasa sunatlah, boleh kurus nanti.”

Dialog seperti itu kadangkala kita terbiasa dengar. Ada ketikanya, frasa tersebut juga sering menjadi monolog diri tanpa kita sedar.

Andai terdetik begitu dalam hati, segera nyahkan jauh-jauh. Sinar Islam ada alasan kukuh mengapa kita perlu berbuat demikian.

Ini kerana ia merupakan antara kesalahan besar dalam beribadah iaitu dilakukan kerana mahu menggapai suatu nikmat dunia.

Demikian teguran yang diberikan oleh pendakwah Ustaz Addien Abdul Kadir menerusi akaun platform X miliknya baru-baru ini.

USTAZ ADDIEN
USTAZ ADDIEN

Artikel Berkaitan:

Ketahuilah bahawa perbuatan itu tidak akan mendatangkan pahala, malah akan berubah menjadi musibah dan ujian yang bakal membinasakan pelakunya, terang beliau ketika mengemukakan pandangan Imam al-Qurtubi tentangnya.

Beliau turut memberikan contoh mudah untuk kita memahami inti pati di sebalik pernyataan itu.

“Tahajud semata-mata hendak kesenangan dunia, berpuasa kerana mahu manfaat dunia, haji dan umrah sebab ‘healing’ (penyembuhan) dan sebagainya yang kita sendiri boleh senaraikan.

“Para ulama membincangkan nilai ibadah sebegini dalam perbahasan ikhlas. Kesimpulan mereka, amalan yang kita buat semata-mata sebab hendakkan dunia, tak ada motivasi kuat untuk akhirat apatah lagi untuk mengharap keredaan ALLAH. Bahkan, amalan itu tiada nilai di akhirat,” coretnya.

Sekalipun ALLAH SWT boleh menunaikan hajat seseorang dalam banyak keadaan, tetapi Addien yang juga penulis buku kerohanian itu mengingatkan, ujian akan diberikan dengan permintaan tersebut.

AMALAN yang dibuat semata-mata sebab hendakkan dunia, tiada motivasi kuat untuk akhirat apatah lagi untuk mengharap keredaan ALLAH.
AMALAN yang dibuat semata-mata sebab hendakkan dunia, tiada motivasi kuat untuk akhirat apatah lagi untuk mengharap keredaan ALLAH.

“Malah, di akhirat nanti, tidak akan ada pahala bagi ibadah sebegitu,” ungkapnya.

Sebelum mengakhiri coretannya, penceramah itu turut mengingatkan agar kita memperbaiki niat ketika beribadah iaitu kerana ALLAH SWT.

“Niatkan pada awal ibadah kita semata-mata kerana-NYA untuk perbaiki diri ke arah akhirat.

“Ingatlah, dunia itu hanyalah sampingan, bukan tujuan utama,” titipnya.