Ringgit dijangka cecah 4.20-4.40 menjelang akhir tahun ini

Ringgit dijangka mencecah paras 4.20-4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini. - Foto hiasan
Ringgit dijangka mencecah paras 4.20-4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini. - Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka mencecah paras 4.20-4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini memandangkan kemungkinan besar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) akan menurunkan kadar faedahnya berikutan jangkaan kemelesetan ekonomi di negara tersebut.

Pengarah Urusan Capital Dynamics Asset Management Sdn Bhd, Tan Teng Boo berkata, langkah menurunkan kadar faedah itu akan membawa impak positif ke atas ringgit dan mata wang lain seperti baht Thai dan rupiah Indonesia serta mata wang negara maju lain seperti yen Jepun.

"Semuanya bergantung kepada keputusan Fed AS dan tidak ada kaitan dengan dasar ekonomi (tempatan) kita.

"Penurunan mata wang dunia ketika ini bukan hanya dirasai oleh ringgit sahaja, tetapi mata wang lain juga termasuk yen Jepun yang menjunam 50 peratus -- yang mana ia merupakan antara mata wang terkukuh satu waktu dahulu,” katanya pada taklimat media mengenai pasaran saham bertajuk "Is Investing in Malaysia Still Attractive Now?” di sini, hari ini.

Mengulas mengenai bila kemelesetan di AS itu dijangka berlaku, Teng Boo berkata, ia bergantung kepada perkembangan global yang berlaku sekarang termasuk krisis Laut Merah dan kemarau di Terusan Panama yang menyebabkan harga barangan melonjak naik, yang seterusnya berpotensi meningkatkan inflasi AS.

Menurutnya, petunjuk utama lain seperti data pengangguran, juga menunjukkan pasaran pekerjaan AS masih lagi terhad, yang memberi kesan kepada gaji dan inflasi negara itu.

Selain itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan dan teras ditambah dengan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) juga meningkat lebih tinggi daripada jangkaan.

Beliau berkata, ringgit terkesan oleh kadar pertukaran nominalnya, tetapi dari segi penilaian, mata wang tempatan ketika ini terkurang nilai.

Artikel Berkaitan:

"Fed AS melakukan perbelanjaan fiskal sangat agresif dengan cara yang sangat tidak bertanggungjawab, dan hutang mereka amat tinggi pada 120 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, yang saya fikir adalah yang tertinggi dalam sejarah Amerika sejak Perang Dunia II.

"Jadi, sebagai ekonomi terbesar yang bertindak dengan secara tidak bertanggungjawab, sudah tentunya ia menjejaskan seluruh dunia dan Malaysia sebagai sebuah negara membangun telah (juga) turut terjejas,” katanya.

Teng Boo menegaskan bahawa adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan atas penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS pada ketika ini.

"Ia (sepatutnya) berdasarkan fakta. Untuk menuduh kerajaan sekarang yang menyebabkan ringgit menjadi lemah, saya rasa itu adalah mengarut dan bukan berdasarkan fakta atau analisis, hanya didorong oleh permainan politik,” katanya.

Beliau menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, perbezaan kadar faedah tidak akan selamanya menentukan kadar mata wang, kerana petunjuk yang perlu dilihat dalam menentukan hala tuju jangka panjang mata wang sepatutnya faktor-faktor struktur. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!