Bekas pengarah tak mengaku salah guna harta syarikat

Chiang Chong (dua dari kanan) ketika dibawa ke mahkamah pada Selasa.
Chiang Chong (dua dari kanan) ketika dibawa ke mahkamah pada Selasa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Bekas pengarah sebuah syarikat pengimport bahan mentah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyalahguna harta milik syarikat untuk kegunaan sendiri dua tahun lalu.

Tertuduh, Ng Chiang Chong, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa dengan curangnya menyalahguna harta iaitu kereta jenis Mercedes Benz GLC 300 Coupe milik syarikat Heap Lee Chan Trading Sdn Bhd.

Lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seberang Jaya pada 3 Oktober 2022.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun, denda dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya manakala tertuduh diwakili peguam, Martin Khoo.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes berkenaan ditetapkan pada 2 April depan.

Artikel Berkaitan: