Suspek lempar objek besi ke arah kereta peronda polis sudah diberkas

Polis berjaya memberkas empat lelaki terlibat dalam kes kejar hingga mengakibatkan dua anggota polis cedera di Kilometer 215 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Taiping, minggu lalu.
Polis berjaya memberkas empat lelaki terlibat dalam kes kejar hingga mengakibatkan dua anggota polis cedera di Kilometer 215 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Taiping, minggu lalu.
A
A
A

IPOH - Polis telah memberkas empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes kejar hingga mengakibatkan dua anggota polis cedera di Kilometer 215 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Taiping, minggu lalu.

Lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 42 tahun itu ditahan di Padang Serai dan Sungai Petani, Kedah pada Isnin menerusi operasi dijalankan Cawangan Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam kejadian itu, suspek bertindak meninggalkan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki sebelum meloloskan diri.

"Lanjutan daripada siasatan dijalankan, semua suspek berjaya ditahan. Hasil soal siasat, mereka mengakui terlibat dalam kes itu.

"Saringan awal air kencing mendapati, empat suspek itu positif dadah jenis metahamphetamine. Mereka telah direman selama empat hari sehingga 1 Mac ini bagi melengkapkan siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, dalam kejadian 19 Februari itu, polis menerima makluman kesemua suspek terlibat dalam kes kecurian kabel di kawasan Taman Ipoh Jaya Timur di sini.

Katanya, polis yang menerima maklumat kejadian itu bertindak menahan kenderaan mereka, namun tidak berjaya.

"Hebahan bantuan telah dilakukan dan beberapa kereta peronda polis ditugaskan untuk mengejar kenderaan suspek hingga lebuh raya utara selatan.

Artikel Berkaitan:

"Kenderaan suspek berjaya ditemui, tetapi suspek telah melarikan diri," katanya.

Mohd Yusri berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kabel dan Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.

"Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan sebaik selesai akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 6.50 pagi itu, dua anggota berpangkat koperal dan lans koperal berusia 29 dan 38 tahun luka di kepala serta sakit di beberapa bahagian badan termasuk dada dan tengkuk selepas kereta peronda jenis Honda Civic 1.8 (SPANCO) dinaiki hilang kawalan.

Kenderaan itu terbabas dan berpusing sebelum melanggar penghadang jalan akibat melanggar satu objek besi yang dilemparkan suspek.

Sebelum itu, kenderaan suspek dikejar kereta peronda polis sejauh lebih 50 kilometer iaitu dari Plaza Tol Ipoh Utara melepasi ke Plaza Tol Changkat Jering di Taiping.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28