Permohonan batal pertuduhan perlu dibuat di mahkamah jenayah bukan sivil - SFC

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa permohonan Daim dan isterinya, Na’imah untuk membatalkan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta sepatutnya dibuat di Mahkamah Jenayah dan bukan di Mahkamah Sivil. - Foto fail
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa permohonan Daim dan isterinya, Na’imah untuk membatalkan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta sepatutnya dibuat di Mahkamah Jenayah dan bukan di Mahkamah Sivil. - Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa permohonan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk membatalkan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta sepatutnya dibuat di Mahkamah Jenayah dan bukan di Mahkamah Sivil.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Liew Horng Bin berkata, jika permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu didengar di Mahkamah Sivil melalui semakan kehakiman, segala bukti berkaitan kes akan didedahkan di mahkamah berkenaan.

"Oleh itu permohonan untuk membatalkan pertuduhan sepatutnya dibuat di Mahkamah Jenayah. Permohonan untuk menggantung prosiding (kes jenayah) sehingga semakan kehakiman diputuskan juga perlu dilakukan di mahkamah berkenaan (jenayah)," katanya semasa prosiding kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang turut disertai peguam Mervyn Lai, mewakili Daim dan Na'imah.

Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan tambahan sebelum atau pada 1 Mac ini.

Terdahulu, Horng Bin memberitahu mahkamah pihaknya tidak membantah terhadap permohonan Daim dan Na'imah untuk meminda beberapa perenggan dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Pindaan itu adalah berhubung notis Seksyen 36(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dikeluarkan terhadap Daim dan Na’imah.

Selain Daim, 85, dan Nai’mah, 66, turut dinamakan sebagai pemohon ialah empat anak mereka iaitu Asnida, 62, Md Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, serta Muhammed Amin Zainuddin, 25, serta syarikat Ilham Tower Sdn Bhd. Kesemua pemohon menamakan SPRM serta Pendakwa Raya sebagai responden.

Bagi kebenaran untuk meminda permohonan kebenaran difailkan pada 30 Januari lepas, mereka memohon perintah untuk membatalkan pertuduhan terhadap Daim pada 29 Januari dan Na'imah pada 23 Januari lepas.

Artikel Berkaitan:

Afidavit sokongan diikrarkan peguam Alicia Sabrina Gomez menyatakan Daim dan keluarga memohon antara lain, perisytiharan bahawa kedua-dua notis Seksyen 36(1) Akta SPRM dikeluarkan terhadap Daim dan Na'imah adalah menyalahi undang-undang.

Pada 16 Januari lepas, Hakim Wan Ahmad Farid telah mendengar permohonan Daim dan keluarganya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap siasatan SPRM dan hakim itu menetapkan 4 Mac untuk keputusan.

Pada 29 Januari lepas, Daim didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Na'imah pula didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Januari lepas atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28