Datuk 17 cucu genggam PhD pada usia 79 tahun

Dr Muharam bersama isterinya, Fuziah.
Dr Muharam bersama isterinya, Fuziah.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pesara guru berusia 79 tahun berjaya menamatkan pengajian di peringkat tertinggi sehingga menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bapa tujuh anak dan 17 cucu itu, Dr Muharam Awang berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti terpaksa berulang-alik dari Melaka ke kampus dan mengalami penyakit katarak menyebabkan mata kabur, namun ia bukan penghalang untuk menamatkan pengajian.

“Saya terpaksa meminta anak yang tinggal di Batu Pahat, Johor untuk menaipkan tesis bagi kajian yang dilaksanakan selepas mendapat tunjuk ajar serta sokongan daripada penyelia iaitu Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (Bitara Melayu), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Dr Zubir Idris.

“Mata saya kabur dan tidak dapat membaca sewaktu mahu menyiapkan tesis. Saya menjalani pembedahan katarak pada Mei lalu dan alhamdulillah selepas pandangan pulih, tesis itu berjaya disiapkan,” katanya pada Khamis.

Graduan warga emas berkenaan menerima skrol PhD Kesusasteraan Melayu yang disampaikan Pro-Canselor UKM, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Majlis Konvokesyen UKM ke-51 dan turut menyaksikan seramai 7,255 graduan menerima ijazah masing-masing di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi.

Tambah Muharam, pada waktu dahulu, guru sekolah menengah dipandang tinggi dan beliau pada ketika itu mengajar di sekolah rendah.

“Dari situ, wujud rasa rendah diri ditambah lagi saya pernah dicabar. Jadi saya sambung pengajian diploma pada 1965. Sebelum bersara, saya juga pernah mengajar tingkatan enam untuk subjek Pengajian Am dan tenaga pengajar di kolej,” ujarnya.

Menurut Muharam, sikap yang sangat cinta dan dahagakan ilmu mendorong dia berjuang menamatkan pengajian tersebut walaupun proses menyiapkan tesis sangat berat.

Artikel Berkaitan:

“Pada peringkat awal, saya berdepan banyak masalah ditambah lagi apabila memerlukan kemahiran komputer. Bagi saya, perkara teknikal ini susah.

“Alhamdulillah, selain pertolongan penyelia dan sokongan isteri Fuziah Md Taha, 71, anak-anak juga sangat membantu. Mereka pun melanjutkan pengajian ke universiti sekali gus menjadi motivasi kepada saya,” ujarnya.

Bagi Muharam, pengalaman belajar sehingga ke peringkat PhD adalah satu kepuasan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.