Calon Ketua Pegawai Eksekutif LTAT sedang dimuktamad - Khaled

Khaled (kanan); Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aoron Ago Dagang melafazkan ikrar Rukun Negara sebelum Majlis Persidangan Dewan Rakyat bermula pada Isnin. Foto Bernama
Khaled (kanan); Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aoron Ago Dagang melafazkan ikrar Rukun Negara sebelum Majlis Persidangan Dewan Rakyat bermula pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedang memuktamadkan calon-calon yang berkredibiliti untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif entiti berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya juga sedang meneliti calon berkelayakan dalam kalangan bekas Panglima Angkatan Tentera untuk dilantik sebagai pengerusi lembaga itu.

Beliau dalam masa sama menegaskan peletakan jawatan beberapa pegawai kanan LTAT tidak memberi impak yang mengganggu operasi, perjalanan serta perkhidmatannya.

“Sebagai langkah susulan, jawatan Ketua Eksekutif yang kosong (ditinggalkan Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman) kini ditanggung oleh Mohammad Ashraf Md Radzi berkuat kuasa serta-merta.

“Bagi jawatan Pengerusi LTAT pula, tugas tersebut kini dipangku oleh Datuk Seri Sham Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan yang merupakan Timbalan Pengerusi LTAT seperti yang diperuntukkan dalam Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101).

“Bagi organisasi seperti LTAT, pelantikan tanggung tugas ini bukannya perkara pelik,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang memintanya menyatakan tindakan telah diambil ekoran peletakan jawatan beberapa pegawai kanan dalam entiti berkenaan baru-baru ini.

Ahmad Nazim pada 31 Januari lalu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LTAT sebelum diikuti Pengerusinya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandie Raja Mohamed pada 8 Februari.

Artikel Berkaitan:

Beberapa hari selepas itu, Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar pula dilapor mengemukakan surat peletakan jawatan.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, kementerian yang diterajuinya komited untuk terus memantau dan memastikan operasi serta strategi dirancang bagi menjadikan LTAT sebagai sebuah dana persaraan yang mampan diteruskan dengan sewajarnya.

“Fokus kementerian adalah untuk memastikan nilai wang simpanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dilindungi dan berkembang di samping memastikan kestabilan dan kelestarian dana pelaburan LTAT bagi tempoh jangka masa panjang,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28