Skim Perubatan Madani kini tertumpu di 10 daerah sahaja

Persatuan berkaitan penjagaan kesihatan berharap kerajaan akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk mengembangkan lagi Skim Perubatan Madani. - Foto: Fail Awani
Persatuan berkaitan penjagaan kesihatan berharap kerajaan akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk mengembangkan lagi Skim Perubatan Madani. - Foto: Fail Awani
A
A
A

SHAH ALAM - Skim Perubatan Madani hanya tertumpu kepada 10 daerah terpilih dan penerima tertentu sahaja berkuat kuasa mulai 26 Februari 2024 sebagai langkah meningkatkan keberkesanan, kemampanan serta memaksimumkan impak skim tersebut.

10 daerah itu ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya, Klang, Johor Bahru, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

ProtectHealth Corporation (ProtectHealth) berkata, klinik swasta di luar kawasan berkenaan diberi masa sehingga sehingga Khamis ini untuk mengemukakan tuntutan tertunggak bagi pesakit yang telah dirawat.

“Skim ini dilancarkan sebagai program perintis sejak 15 Jun 2023 dengan objektifnya untuk mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Pesakit Luar dan Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kawasan bandar.

“Pada masa ini, ia masih lagi dalam fasa penambahbaikan penyampaian dan pelaksanaan. Berdasarkan pemerhatian, kesesakan di fasiliti KKM di bawah fasa perintis skim ini adalah bertambah baik.

“Berkuatkuasa 26 Februari 2024, skim ini diperhalusi dan perubahan utama ialah kawasan-kawasan pelaksanaan yang hanya akan tertumpu kepada 10 daerah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini beberapa klinik swasta yang pernah menyertai Skim Perubatan Madani memuat naik notis penghentian skim berkenaan menerusi media sosial masing-masing.

Penamatan kemudahan untuk golongan berpendapatan rendah itu telah mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Jelas ProtectHealth, langkah tersebut penting untuk keberkesanan pelaksanaan skim berkenaan mencapai objektif utama dengan memfokuskan sumber pada kawasan dan penerima tertentu.

“Klinik swasta yang aktif di 10 daerah yang ditetapkan, boleh terus menyediakan perkhidmatan skim ini dan pesakit boleh menggunakan kemudahan ini sehingga peruntukan skim digunakan sepenuhnya.

“ProtectHealth komited untuk meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan bagi mereka yang memerlukan dan komited untuk mengekalkan kerjasama dengan Pengamal Perubatan Swasta (GP) dalam semua Perkongsian Awam dan Swasta (PPP) di masa hadapan,” ujar syarikat itu.