Bursa Malaysia meningkat dalam dagangan awal

FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 3.90 mata kepada 1,551.50 daripada 1,547.60 semasa ditutup semalam. - Gambar hiasan
FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 3.90 mata kepada 1,551.50 daripada 1,547.60 semasa ditutup semalam. - Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia meningkat dalam dagangan awal hari ini walaupun prestasi Wall Street dalam tempoh semalaman merosot.

Pada jam 9.25 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.90 mata kepada 1,551.50 daripada 1,547.60 semasa ditutup semalam.

Bagaimanapun, indeks penanda aras itu dibuka rendah 2.08 mata kepada 1,545.52

Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 287 berbanding 277, manakala 336 kaunter tidak berubah, 1,409 tidak diniagakan dan 47 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 649.16 juta unit bernilai RM299.95 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, Wall Street ditutup rendah dalam tempoh semalaman selepas mencatat pencapaian terbaik minggu lepas kerana peniaga kini memberikan tumpuan kepada data ekonomi baharu memandangkan rejim kadar faedah tinggi mungkin agak berpanjangan.

"Sehubungan itu, Purata Perindustrian Dow Jones menyusut 62 mata manakala Nasdaq susut 21 mata dengan hasil 10 tahun AS meningkat kepada 4.28 peratus.

"Di Hong Kong, Indeks Hang Seng ditutup rendah kerana peniaga tidak memasuki pasaran, sambil menantikan keputusan suku tahunan daripada syarikat seperti Baidu, Li Auto dan Hong Kong Exchanges dan Clearing Ltd selain harapan kepada lebih banyak rangsangan dari Beijing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam negara, Pak Leng berkata, walaupun volum harian di Malaysia kekal rendah, kemasukan dana asing baru-baru ini ke bursa tempatan akan menyaksikan peningkatan penilaian dalam kalangan saham mewah yang mungkin memberikan kesan positif kepada saham bermodal kecil pada masa hadapan.

"Kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,545-1,555 hari ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik satu sen kepada RM4.47, CIMB menokok dua sen kepada RM6.45, dan Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM11.40, manakala Maybank menyusut satu sen kepada RM9.50 dan Petronas Chemicals susut 23 sen kepada RM6.76.

Bagi saham aktif, YTL Corporation menokok 13 sen kepada RM2.63, Master Tec menambah empat sen kepada 69 sen, dan Cape EMS turun 17.5 sen kepada 95.5 sen, manakala Hong Seng Consolidated dan TWL Holdings masing-masing tidak berubah pada dua sen dan 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 23.59 mata kepada 11,520.87, Indeks FBMT 100 naik 26.01 mata kepada 11,174.70, Indeks FBM Emas Syariah menambah 8.02 mata kepada 11,537.94, dan Indeks FBM 70 meningkat 27.77 mata kepada 15,535.50, manakala Indeks FBM ACE rendah 10.82 mata kepada 4,834.98.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 26.78 mata kepada 17,346.19, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.50 mata kepada 176.43, Indeks Perladangan menokok 19.74 mata kepada 7,179.43, dan Indeks Tenaga berkurangan 7.07 mata kepada 929.16. - Bernama