Kejohanan Boling Jemputan Worldwide Environment 2024 sengit, meriah

Tiga pasukan yang berjaya memenangi tempat teratas Kejohanan Boling Jemputan Worldwide Environment 2024 meraikan kemenangan dengan merakam gambar bersama Norazlina (berdiri, empat dari kiri).
Tiga pasukan yang berjaya memenangi tempat teratas Kejohanan Boling Jemputan Worldwide Environment 2024 meraikan kemenangan dengan merakam gambar bersama Norazlina (berdiri, empat dari kiri).
A
A
A

KEJOHANAN Boling Jemputan Worldwide Environment 2024 di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid dekat sini berlangsung penuh sengit dan meriah dengan penyertaan 200 pemain daripada 41 pasukan.

Kejohanan yang dianjurkan Bahagian Alam Sekitar, Kumpulan Syarikat Worldwide Holdings Berhad (WHB) itu disertai pelbagai jabatan serta agensi kerajaan Persekutuan serta negeri di Selangor dan wakil media.

Antaranya adalah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

Ia juga menampilkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Turut mengambil bahagian wakil dari pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah seluruh Selangor manakala organisasi media yang terlibat adalah Sinar Harian, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Media Selangor.

Norazlina (barisan dua dari depan, 11 dari kiri) bergambar bersama 41 pasukan yang berentap dalam Kejohanan Boling Jemputan Worldwide Environment 2024 di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid.
Norazlina (barisan dua dari depan, 11 dari kiri) bergambar bersama 41 pasukan yang berentap dalam Kejohanan Boling Jemputan Worldwide Environment 2024 di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM2,550 dan hadiah cabutan bertuah kategori pasukan serta individu.

Johan bagi kategori berpasukan menjadi milik pasukan JPP Strike dari Majlis Bandaraya DiRaja Klang (MBDK) dengan jatuhan pin sebanyak 2,359 diikuti tempat kedua dan ketiga dimenangi pasukan PADU X dari UPEN SPBT dengan jatuhan sebanyak 2,231 dan pasukan Bernama Digital dengan jatuhan pin sebanyak 1,976.

Artikel Berkaitan:

Hadiah tempat pertama bagi kategori jatuhan pin terbanyak individu lelaki pula dimenangi Mohd Ikhzal dari pasukan JPP Strike, Majlis Bandaraya DiRaja Klang dengan 640 jatuhan pin manakala kategori wanita pula dimenangi Norhayati Mohd Ali dari pasukan Majlis Perbandaran Hulu Selangor dengan 511 jatuhan pin.

Kejohanan turut menyaksikan dua peserta membawa pulang hadiah khas bagi balingan lima strike dalam satu pusingan permainan iaitu Shahril Hafiz dari Majlis Perbandaran Klang (JPP Strikes) dan Mohd Zaki dari UPEN SPBT (Strike Bowl).

Bermula tahun lalu, Bahagian Alam Sekitar WHB kembali aktif menganjurkan pelbagai program yang melibatkan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan seperti perlawanan persahabatan futsal, bola sepak dan badminton.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, kejohanan boling tersebut yang kali terakhir dianjurkan pada 2019 sebelum pandemik Covid-19, merupakan salah satu platform untuk meraikan kolaborasi serta mengukuhkan jaringan kerjasama antara Worldwide dengan pihak PBT, agensi kerajaan serta organisasi media.

“Penganjuran semula kejohanan ini juga adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah banyak membantu urusan kerja dan operasi perniagaan serta memberi sokongan berterusan kepada WHB, khususnya di bahagian Pengurusan Alam Sekitar,” katanya.

WHB merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan telah berkembang dengan jayanya sebagai sebuah konglomerat dengan empat sektor perniagaan utama iaitu hartanah, pengurusan alam sekitar, peranti perubatan dan tenaga.

Kini Worldwide Holdings diiktiraf sebagai peneraju utama dalam perkhidmatan pengurusan alam sekitar di Lembah Klang.

Pengalaman luas dan kepakaran dalam perkhidmatan pengurusan alam sekitar menjadi pemangkin kepada kerajaan negeri Selangor memilih Worldwide Holdings sebagai pemacu pembangunan projek berimpak tinggi Loji Sisa-ke-Tenaga (WTE) di Selangor.

Selain itu, Worldwide Holdings turut giat menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat terutamanya komuniti di sekitar kawasan operasi syarikat melalui inisiatif-inisiatif di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR), ‘Worldwide Prihatin’.