IHH Healthcare Malaysia, Bank Mega jalin kerjasama

Pementeraian memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Komersial IHH Healthcare Malaysia, Sipika Singh (kanan) dan wakil Presiden Pengarah Bank Mega, Diza Larentie (kiri).
Pementeraian memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Komersial IHH Healthcare Malaysia, Sipika Singh (kanan) dan wakil Presiden Pengarah Bank Mega, Diza Larentie (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar, IHH Healthcare Malaysia menjalinkan kerjasama dengan institusi kewangan terkemuka Indonesia, Bank Mega bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan di Jakarta.

Ketua Pegawai Komersial IHH Healthcare Malaysia, Sipika Singh berkata, kolaborasi tersebut menegaskan misi bersama kedua-dua organisasi untuk mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan pelanggan.

Menurutnya, melalui kerjasama itu, pemegang kad Bank Mega akan menerima layanan kesihatan dan lebih banyak pilihan rawatan berkualiti serta mudah diaskes di Malaysia akan diberikan.

“IHH Healthcare Malaysia akan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti di rantau ini.

“Lebih 1,200 profesional penjagaan kesihatan yang menggunakan teknologi perubatan dan peralatan terkini seperti PET-CT, Pisau Gamma, Sistem Pembedahan Robotik Da Vinci dan LINAC sekali gus meningkatkan keupayaan dalam penjagaan menyeluruh dalam banyak perkara.

“Kami bersemangat untuk menyediakan pilihan perkhidmatan yang sangat bernilai kepada pemegang kad bank tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kerjasama berkenaan dilakukan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Sipika dan wakil Presiden Pengarah Bank Mega, Diza Larentie.

Penyediaan perkhidmatan kesihatan itu dibuat menerusi rangkaian jenama seperti Hospital Gleneagles, Hospital Pantai dan Pusat Perubatan Prince Court.

Artikel Berkaitan:

Sipika turut memaklumkan bahawa kerjasama tersebut bertujuan memperkukuhkan kedudukan IHH Healthcare Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan pilihan untuk pelancong perubatan di Indonesia.

“Jarak kedua-dua negara ini (yang dekat) menjadikan kami sebagai destinasi ideal untuk pesakit. Kami juga mempunyai banyak persamaan termasuk budaya, makanan dan bahasa.

“Pemegang kad kredit bank ini juga akan menikmati faedah istimewa termasuk harga keutamaan, janji temu dan pakej kesihatan serta diskaun untuk bilik, makanan, pengambilan lapangan terbang atau ujian komposisi badan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Diza berkata, kerjasama itu sejajar dengan keinginan pihaknya untuk sentiasa memberikan kemudahan yang bermanfaat dan penyelesaian holistik kepada pelanggan, terutama berkaitan aspek kesihatan.

Menurutnya, ia turut menawarkan akses layanan kesihatan kelas dunia kepada pelanggan.

“Mereka juga memiliki pilihan dalam mengatur pembiayaan dengan ansuran jika bertransaksi dengan menggunakan kad kredit Bank Mega,” ujarnya.