Bank Rakyat jalin kerjasama dengan tiga rakan strategik

Dr Mohammad Hanis bersama Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham dan enam agensi pelancongan di bawah PAPUH semasa Majlis Jalinan Kolaborasi Bank Rakyat dan Rakan Strategik yang diadakan di Kuala Lumpur, pada Selasa.

A
A
A

BANK Rakyat komited memperluaskan perkhidmatan kewangannya melalui kolaborasi dengan tiga rakan strategik iaitu Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia, KPJ Healthcare University serta Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) untuk memberikan manfaat besar kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya para pelajar universiti dan umat Islam.

Menerusi kolaborasi itu, Bank Rakyat akan memperluaskan Program Sekolah Tanpa Tunai di institusi pendidikan di bawah seliaan Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia yang mana kini merangkumi 54 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), empat Kolej Mara dan enam Kolej Profesional Mara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, Program Sekolah Tanpa Tunai Bank Rakyat itu bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan pelajar dan mencipta ekosistem tanpa tunai di premis sekolah.

Dr Mohammad Hanis (kiri) bersama Presiden Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia, Datuk Sayed Alfeizal Syed Ahmad semasa Majlis Jalinan Kolaborasi Bank Rakyat dan Rakan Strategik diadakan di Kuala Lumpur, pada Selasa.

“Melalui kerjasama ini, pelajar dan sekolah dapat menikmati pelbagai kemudahan perkhidmatan dan produk perbankan Bank Rakyat seperti pembukaan akaun simpanan, kad debit khas untuk pelajar, pembukaan Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i).

“Ia juga menyediakan kemudahan terminal POS untuk pengusaha kantin sekolah dan koperasi sekolah serta platform perbankan digital termasuk aplikasi iRakyat, Duitnow QR, DuitNow serta JomPay,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sehingga Oktober 2023, program itu telah memberi manfaat kepada lebih daripada 14,000 pelajar di 56 buah sekolah di seluruh negara.

“Kad Debit-i khas pelajar bagi Program Sekolah Tanpa Tunai kini berwajah Baharu dengan reka bentuk yang lebih eksklusif,” kata Mohammad Hanis.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Hanis (kiri) bersama Naib Canselor KPJ Healthcare University, Profesor Emeritus Datuk Dr. Lokman Saim semasa Majlis Jalinan Kolaborasi Bank Rakyat dan Rakan Strategik yang diadakan di Kuala LUmpur, pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata, menerusi kerjasama dengan KPJ Healthcare University pula Bank Rakyat meluaskan penyediaan program pembiayaan ke peringkat pengajian Diploma Kejururawatan pada tahu 2023.

“Pada tahun 2018, Bank Rakyat mula berkolaborasi dengan KPJ Healthcare University yang merupakan anak syarikat KPJ Healthcare Berhad untuk menyediakan Pembiayaan Pendidikan-i kepada pelajar peringkat pengajian Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan dengan tawaran pembiayaan sehingga RM250,000 termasuk kos sara hidup dengan tempoh pembiayaan sehingga 20 tahun,” katanya.

Mohammad Hanis berkata, Bank Rakyat juga berkerjasama dengan PAPUH yang mana Bank Rakyat menyediakan penyelesaian kewangan merangkumi kos umrah dan haji termasuk perbelanjaan para jemaah di Mekah dan Madinah.

“Menerusi kolaborasi ini, Bank Rakyat menawarkan pakej patuh Syariah untuk tujuan umrah dan haji termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Kad Kredit-i, Kad Debit-i, Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah serta perkhidmatan kiriman wang asing kepada agensi pelancongan untuk membuat bayaran ke luar negara dengan kadar tukaran yang kompetatif dan lebih pantas,” katanya.