Azhan Rani lepas tekanan di puncak gunung

Azhan menyifatkan pendakian yang dilakukan sebagai salah satu cara melepas tekanan kerja.
Azhan menyifatkan pendakian yang dilakukan sebagai salah satu cara melepas tekanan kerja.
A
A
A

AKTOR Azhan Rani menyifatkan aktiviti mendaki gunung yang dilakukan sejak 2013 sebagai salah cara untuk melepaskan tekanan.

Jelas bintang berusia 48 tahun itu, aktiviti itu memberi ruang buatnya untuk bergaul dengan individu yang bukan daripada industri seni, sekali gus dapat berkongsi cerita dengan kelompok yang berbeza.

"Setiap orang perlukan ruang untuk healing (melepaskan tekanan), begitu juga saya yang kerja tidak tentu masa dan ada ketikanya dengan jadual yang padat.

"Setiap tahun, saya akan tetapkan satu tempoh untuk saya lepaskan tekanan dan sebaik selesai mendaki, ia memberi rasa lebih segar untuk memulakan projek baharu," katanya.

Azhan berkata demikian ketika ditemui sebelum berlepas ke Nepal pada Ahad bersama 12 pendaki lain bagi menggalas cabaran mengibarkan Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal bermula Isnin sehingga 13 Mac 2024.

Majlis Flag Off yang diadakan di Ruang Legar Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) cukup bermakna kerana dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad.

Azhan (kir) bersama Nor Hisham (tengah) dan pendaki lain termasuk Mohd Fakhrul Munir (tiga dari kiri).
Azhan (kir) bersama Nor Hisham (tengah) dan pendaki lain termasuk Mohd Fakhrul Munir (tiga dari kiri).

Berkongsi penglibatannya dalam program pendakian amal anjuran Summit Attack Resources (SAR) dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan itu, Azhan berkata, objektif utama ekspedisi ini adalah untuk mengutip dana bagi membantu Persatuan Kebajikan AHSANA Kuala Lumpur di Puchong yang menempatkan orang kelainan upaya (OKU) dan autisme.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersama empat pendaki diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa serta pendaki tunggal wanita, Zarina Abd Rahman akan menawan puncak Gunung Island Peak setinggi 6,160 meter atau 20,210 kaki dari aras laut.

"Lapan pendaki lagi melengkapkan misi ke Everest Base Camp (EBC) setinggi 5,364 meter atau 17,598 kaki dari aras laut.

Azhan menerima beg daripada Nor Hisham.
Azhan menerima beg daripada Nor Hisham.

"Pendakian ke Island Peak selama 18 hari ini dijangka sangat mencabar kerana ia merupakan pendakian teknikal di gunung bersalji dengan suhu rendah sehingga mencecah -25 darjah Celcius," jelasnya.

Ditanya persediaannya menghadapi pendakian mencabar itu, pelakon yang terkenal dengan karakter penunggang agama bernama Ustaz Madi menerusi siri Nur mengakui tidak mempunyai masa mencukupi untuk membuat latihan.

Selain faktor jadual kerja yang padat, kebanyakan aktiviti pendakian tidak dapat dilakukan sejak akhir tahun lalu kerana faktor cuaca.

"Sejujurnya semangat saya sebanyak 80 peratus selebihnya adalah persediaan fizikal, tetapi insya-ALLAH pengalaman dan latihan sejak setahun lalu menjadi penguat saya.

"Apa pun, puncak gunung bukan keutamaan saya, tetapi pulang dengan selamat adalah satu kemestian.

"Saya bukan pendaki profesional, jadi kalau tak dapat ke puncak, ia bukan kegagalan buat saya. Pendakian yang saya lakukan lebih kepada hiburan buat saya," katanya yang pernah mendaki Gunung Kalapatthar, Gunung Rinjani, Gunung Apad Runan, Gunung Hallasan dan Everest Base Camp.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28