RM265 juta diperuntuk laksana program penyeragaman harga

Armizan ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto: Bernama
Armizan ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM40 juta untuk melaksanakan Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan serta RM225 juta bagi Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming pada 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dua program berkenaan merupakan dua komponen khusus di bawah Program Penyeragaman Harga yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Armizan yang juga pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, program itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada langkah intervensi untuk menangani isu perbezaan besar harga barang-barang asas dengan kawalan harga di kawasan pedalaman berbanding kawasan lain.

"Selain itu, program ini dijalankan bagi menanggung kos pengangkutan membawa tujuh barangan bersubsidi atau kawalan iaitu beras, gula, tepung gandum, minyak masak, LPG, petrol RON95 dan diesel daripada pembekal ke kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Ia bagi memastikan supaya penduduk kawasan pedalaman boleh membeli tujuh barangan berkenaan dengan harga kawalan yang disebutkan tadi sama seperti di bandar atau pekan terdekat,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) berhubung keberkesanan pelaksanaan Program Penyeragaman Harga dalam menangani kos sara hidup penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah.

Sebagai contoh, katanya harga bagi LPG tong 14 kilogram di Zon Pensiangan ialah RM65 setong sebelum ini, namun selepas pelaksanaan program itu, harganya ditetapkan sebanyak RM26.60 setong.

"Untuk Sabah sahaja, program ini melibatkan 69 zon dengan rangkuman keseluruhan 216 kawasan serta memberi kesan dan impak langsung kepada lebih 525,000 populasi penduduk di kawasan terlibat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan tambahan Riduan sama ada kementerian bercadang mewujudkan mekanisme penyeragaman harga melibatkan barangan asas bersubsidi dan tidak bersubsidi di Sabah memandangkan harga barangan asas di negeri itu berbeza antara daerah, Armizan berkata buat masa ini, keutamaan diletakkan kepada barangan kawalan terlebih dahulu dan memperluas liputan zon point-of-sale.

"Sebagai contoh, pada 2019, point-of-sale yang ada di seluruh negara yang terlibat dalam program ini ialah 1,601 dan pada 2024 kita akan perluas kepada 1,727 point-of-sale, ini maksudnya liputan kawasan pedalaman itu semakin meningkat, kita tambah baik dari semasa ke semasa,” katanya. - Bernama