'Jauhi sifat rakus, semborono dan sombong buat keputusan' - Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menggesa semua menteri untuk menjauhkan diri daripada sifat rakus, semborono dan sombong dengan kuasa yang dimiliki dalam membuat sebarang keputusan.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, walaupun mempunyai kelebihan tetapi setiap tindakan yang diambil perlu dilaksanakan secara berhemah dan bijaksana dengan mengambil kira kepentingan daripada setiap aspek.

"Menteri umpama seorang bapa di kementeriannya yang perlu bersikap prihatin, cakna, sedia mendengar serta menjadi pemandu arah kepada pegawai yang lain.

"Amatlah penting menteri menghormati para pegawai terutama mereka yang lama berkhidmat dan berpengalaman. Walau kita seorang menteri, bukan bermakna kita tahu semua atau lebih pandai daripada pegawai.

"Seorang menteri yang baik ialah seseorang yang dapat memenangi hati pegawai, menjadikan mereka hormat dan bermotivasi untuk berkhidmat. Menteri patut menghormati pegawai terutama mereka yang sudah lama berkhidmat serta berpengalaman," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kes penurunan pangkat yang dikenakan terhadap bekas Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar kerana gagal mencapai prestasi kerja ditetapkan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, banyak peluang telah diberikan kepada Ammar memandangkan beliau mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelancongan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Ammar tidak dipecat atau ditamatkan perkhidmatan seperti yang didakwa sebaliknya hanya diturunkan pangkat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Annuar Musa, perkhidmatan awam Malaysia mempunyai barisan pegawai kanan berkebolehan dan berpengalaman.

"Orang politik walaupun berkuasa, tetapi masih perlu bergantung kepada nasihat serta pandangan daripada mereka ini. Berharmoni dan saling menghormati antara penjawat awam dengan pemimpin politik sangat penting.

"Jangan sombong walau berkuasa kerana ia bersifat sementara. Kita tidak dikenang kerana kuasa tetapi akan dikenang kerana kebijaksanaan dan prestasi serta integriti dalam perkhidmatan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!