Tiga individu putih mata ditipu pinjaman tidak wujud

Gambar kecil: Mazli
Gambar kecil: Mazli
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara terdesak mahu membuat pinjaman wang, dua lelaki dan seorang wanita terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM20,040 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kejadian itu berlaku selepas mangsa tertarik dengan iklan berkaitan pinjaman wang yang diperoleh melalui platform media sosial Facebook.

Menurutnya, mangsa yang bersetuju kemudian diminta untuk membuat pelbagai bayaran oleh syarikat berkenaan bagi mendapatkan wang dijanjikan.

"Kes pertama melibatkan seorang kontraktor berusia 41 tahun yang telah membuat permohonan pinjaman wang sebanyak RM10,000 dan mengalami kerugian sebanyak RM4,100.

"Bagi kes kedua melibatkan mangsa berusia 37 tahun yang merupakan peniaga. Dia telah memohon membuat pinjaman wang sebanyak RM60,000 malangnya mengalami kerugian RM8,400.

"Untuk kes ketiga pula melibatkan seorang operator yang berusia 33 tahun dan telah membuat permohonan pinjaman wang sebanyak RM60,000 dan mengalami kerugian RM7,540," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu setelah membuat bayaran ke beberapa akaun bank (keldai akaun) namun tidak menerima wang pinjaman tersebut.

Mazli berkata, kertas siasatan tiga kes tersebut telah dibuka bersama empat kes penipuan lain yang membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM44,455.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Mazli berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Terengganu pada 18 hingga 24 Februari lalu, sebanyak 81 laporan polis telah diterima berbanding 71 laporan pada minggu sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 10 kes.

Justeru katanya, orang ramai diingatkan supaya menyemak nama syarikat, syarat sah pemberi pinjaman wang berlesen dan prosedur bagi pinjaman wang sebenar.

"Mereka dinasihatkan untuk membuat semakan melalui laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pengesahan syarikat pinjaman wang," ujar beliau.