Industri akuakultur catat pengeluaran RM3.9 bilion pada 2023

Jabatan Perikanan Malaysia mempamerkan spesies ikan kelah pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Sabtu. Foto Bernama
Jabatan Perikanan Malaysia mempamerkan spesies ikan kelah pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA SELANGOR - Industri akuakultur negara berjaya mencatatkan kira-kira 492,680 tan metrik pengeluaran bernilai RM3.9 bilion pada tahun lepas, kata Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan Malaysia juga ke arah meningkatkan sumbangan akuakultur perikanan negara dengan memfokuskan bagi pengeluaran akuakultur ikan tilapia gift, tilapia merah, ikan susu, keli, siakap, patin, lampam, kelah, udang putih dan udang harimau.

"Dalam pameran di bawah segmen akuakultur sempena Program Madani Rakyat Zon Tengah kali ini, Jabatan Perikanan Malaysia mempamerkan spesies udang harimau, udang putih, ikan kelah dan lampam yang menggunakan teknologi biofloc dan Amalan Pertanian Baik (myGAP) sektor perikanan.

"Pameran kali ini juga diharapkan dapat menarik minat pelabur atau kumpulan sasar dalam industri akuakultur melalui skim bantuan input akuakultur, biosekuriti, teknologi biofloc bagi akuakultur air tawar dan marin serta keperluan dan kepentingan myGAP,” katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Adnan berkata, sepanjang program ini berlangsung pengunjung boleh melihat sendiri rupa bentuk ikan kelah dan udang serta memperolehi maklumat berhubung industri penternakan akuakultur bagi mendapatkan hasil yang lebih berkualiti.

Beliau berkata, pameran kali ini turut memperkenalkan teknologi bioflok iaitu sistem akuakultur yang mengitar semula sisa nutrien sebagai makanan ikan.

"Melalui teknologi ini ia akan memudahkan penternak mengawal kualiti air, mengawal jangkitan penyakit seterusnya pengusaha akan dapat meningkatkan hasil akuakultur mereka.

"Selain itu, teknologi ini juga dapat meningkatkan hasil penternakan udang dengan menggunakan bahan aditif rawatan air yang mengandungi enzim, mikrob, mineral dan asid amino,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Adnan turut berkata, pada tahun ini Jabatan Perikanan Malaysia menyasarkan sejumlah 500,000 tan metrik pengeluaran akuakultur dengan purata pendapatan penternak akuakultur berjumlah RM3,800 sebulan.

Pogram tiga hari sehingga esok bermula 9 pagi hingga 10 malam itu memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan disediakan agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor khususnya.

Majlis penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok dan dijangka turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28