'Seri dengan Korea, duo Morales-Josue, itu penyudah KL City' - Khalid

Morales (kiri) dan Josue menjadi watak penting ketika Malaysia mengikat Korea Selatan 3-3 dalam saingan Piala Asia Qatar di Doha bulan lalu. Foto Agensi
Morales (kiri) dan Josue menjadi watak penting ketika Malaysia mengikat Korea Selatan 3-3 dalam saingan Piala Asia Qatar di Doha bulan lalu. Foto Agensi
A
A
A

DUA tonggak Kuala Lumpur (KL) City FC, Romel Morales dan Paulo Josue menjadi watak penting ketika Malaysia mengikat pasukan Piala Dunia, Korea Selatan 3-3 dalam saingan Piala Asia Qatar 2023 bulan lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad mengingatkan bahawa kudrat pemain skuad warga kota itu telah membawa kegembiraan buat seluruh rakyat negara ini.

Justeru Khalid optimis bahawa penampilan KL City dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bukan sekadar pelengkap jadual, tetapi akan menjadi pencabar digeruni dalam kancah bola sepak negara.

“Saya yakin sokongan terhadap bola sepak. Perlu diingatkan kepada semua bahawa keputusan seri 3-3 (Malaysia) bertemu Korea Selatan.

"Jaringan Morales dan bantuan gol daripada Josue. Itu penyudah KL City.

“Satu negara bergembira. FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dapat RM5 Juta, tetapi Morales dan Josue dibiayai oleh siapa.

"Hari demi hari, bulan demi bulan (dibiayai) adalah KL City," katanya dalam sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Jaringan Morales pada masa kecederaan menjadi detik bersejarah buat skuad Harimau Malaya ketika menafikan kemenangan Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan E.

Artikel Berkaitan:

Khalid berharap penghargaan wajar diberikan kepada kelab yang berjaya menggilap bakat para pemain untuk beraksi buat skuad kebangsaan.

“Kalau tak ada KL City, maka tidak adalah Morales dan Josue. Gol ketiga itu pun tak masuk,” katanya.

Bagaimanapun Morales baru-baru ini telah diperkenalkan sebagai pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala Josue dijangka kekal bersama KL City untuk musim baharu ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!