Malaysia hargai komitmen Jepun tingkat kerjasama

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media lawatan kerjanya ke Tokyo dan Osaka, Jepun bermula 17 hingga 23 Februari 2024. Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media lawatan kerjanya ke Tokyo dan Osaka, Jepun bermula 17 hingga 23 Februari 2024. Foto Bernama
A
A
A

OSAKA - Malaysia menghargai komitmen Jepun terhadap kerjasama yang diberikan selepas peningkatan hubungan kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), pada Disember lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepanjang lawatan kerja tujuh hari beliau ke negara ‘Matahari Terbit’ itu, Jepun memberikan pelbagai input kepada Malaysia dalam bidang seperti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), sektor halal dan sistem pengurusan bencana.

"Saya lakukan tindakan susulan hanya kira-kira sebulan setengah daripada lawatan Perdana Menteri ke Jepun. Mereka amat menghargai lawatan susulan yang saya lakukan ini dengan beberapa tindakan dalam bidang halal, TVET dan sistem pengurusan bencana.

"Apa yang lebih penting, kita mendapati komitmen daripada kerajaan Jepun hasil lawatan Perdana Menteri pada Disember lalu, bagi mempertingkatkan hubungan diplomatik Malaysia kepada CSP,” katanya kepada media Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja beliau ke Tokyo dan Osaka pada Jumaat.

Semasa lawatan kerja ke Jepun pada Disember lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Fumio Kishida mengeluarkan kenyataan bersama mengenai peningkatan hubungan Malaysia-Jepun kepada kerjasama komprehensif strategik.

Ahmad Zahid berkata, banyak ilmu dan perkara diperoleh hasil lawatan kerja ke Jepun dalam bidang TVET, kerana Jepun yang mempunyai institusi pendidikan berintegrasikan TVET sejak 35 tahun lepas, berjaya melahirkan pelajar yang berjaya dalam sektor berkenaan.

"Kita lihat Jepun terlalu maju, mereka mempunya institusi KOSEN berintegrasikan sistem TVET dan mereka jadikannya sebagai institusi profesional...di Jepun TVET bukan pilihan kedua tetapi pilihan pertama,” katanya yang Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang diiringi Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan wakil institusi pendidikan tinggi, mengadakan lawatan ke Institut Teknologi Nasional, Kolej Tokyo (Tokyo KOSEN), bagi mempelajari Model KOSEN.

Artikel Berkaitan:

Model KOSEN menekankan konsep pembelajaran TVET lebih menyeluruh dan terangkum, dengan menyediakan laluan pembelajaran selama lima tahun kepada pelajar yang cenderung memilih bidang itu seawal usia 15 tahun.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga berhasrat menghantar lebih ramai pelajar Malaysia mengikuti pengajian di Jepun dalam bidang TVET, selaras dengan hasrat memperkasa sektor TVET tempatan.

"Ini kerana kita mendapat tawaran kepada pelajar-pelajar kita melanjutkan pelajaran di sini terutama daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), selain pertukaran pelajar Jepun ke Malaysia,” katanya.

Rangkaian MTUN merupakan gabungan empat universiti berasaskan teknikal iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Semasa di Osaka, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara Halal Development Corporation Berhad (HDC) dengan dua entiti di Jepun dalam sektor halal.

Kerjasama itu juga sekali gus dapat meningkatkan hubungan dagangan dua hala antara kedua-dua negara dalam industri halal.

Ahmad Zahid, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Khairul Shahril Idrus dan delegasi Malaysia, turut diberikan diberikan taklimat mengenai pengurusan bencana dalam kunjungan ke Osaka.

Lawatan kerja itu merupakan kunjungan sulung Ahmad Zahid ke Jepun sejak pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI pada Disember 2022. - Bernama