Bapa lima anak berdepan 20 pertuduhan merompak

Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas 20 pertuduhan melakukan rompakan bank dan farmasi di daerah ini sejak dua tahun lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas 20 pertuduhan melakukan rompakan bank dan farmasi di daerah ini sejak dua tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Bapa lima anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas 20 pertuduhan melakukan rompakan bank dan farmasi di daerah ini sejak dua tahun lalu.

Mohd Sufian Wahab, 39, yang sebelum ini bertugas sebagai juruteknik syarikat penyedia perkhidmatan internet membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof dan Hakim Azizah Ahmad.

Pada prosiding pertama, tertuduh didakwa atas tujuh pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau terhadap tujuh individu melibatkan kerugian antara RM700 hingga RM10,000 dan seutas gelang.

Prosiding kedua di hadapan Azizah pula, tertuduh berdepan 13 pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau, rompakan berkumpulan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Kesalahan dilakukan tertuduh itu membabitkan kerugian keseluruhan RM29,510 selain pelbagai barangan kemas seperti rantai, gelang, cincin, buah rantai, cincin batu jed dan seutas jam tangan jenama Seiko.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di beberapa bank dan farmasi di daerah Ipoh antara 3 Ogos 2022 hingga 25 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392/397 serta Seksyen 395/397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Artikel Berkaitan:

Barisan Timbalan Pendakwa Raya diketuai Qurratu'aini Khalifah, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi dan Mohamad Nazreen Zabarudin tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan serius yang melibatkan kerugian besar dan orang awam.

Bagaimanapun tertuduh diwakili Peguam Gheetal Kaur memohon dibenarkan diikat jamin dengan jumlah minimum atas alasan menanggung anak masih bersekolah selain menjaga ibu yang mengalami masalah jantung.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 22 April depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 7 Februari lalu, Mohd Sufian bersama seorang lagi lelaki didakwa di tiga Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan melakukan rompak dan samun berkumpulan di beberapa bank.

Media sebelum ini melaporkan dua lelaki disyaki kumpulan samun ‘Geng Pian’ yang aktif menyamun di Perak dan Kuala Lumpur sejak 2020 akhirnya tumpas apabila suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dalam tangkapan berasingan di Perak dan Pahang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!