Pengaktifan 'Smart Lane' perlu diberitahu awal - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan (depan) ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Operasi Plaza Tol Pagoh, Lebuh Raya PLUS pada Jumaat.
Ahmad Maslan (depan) ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Operasi Plaza Tol Pagoh, Lebuh Raya PLUS pada Jumaat.
A
A
A

MUAR - Syarikat konsesi lebuh raya termasuk PLUS Malaysia Berhad (PLUS) perlu mempunyai satu sistem pemberitahuan yang lebih berkesan sekiranya mengaktifkan ‘Smart Lane’ sewaktu kesesakan lalu lintas berlaku.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia penting bagi mengelakkan pengguna jalan raya keliru mengenai waktu sebenar laluan kecemasan tersebut dibuka.

"Semasa perayaan Tahun Baharu Cina, Smart Lane ini dibuka bermula jam 8 pagi hingga enam petang, namun ramai pengguna di lebuh raya berkenaan tidak mengetahuinya sehingga berlaku kekeliruan antara penunggang motosikal dengan pengguna yang lain.

"Selain itu, PLUS mempunyai 14 laluan kecemasan yang boleh dijadikan ‘Smart Lane’ termasuk tiga yang terdapat di Johor iaitu di Seksyen Dato’ Onn ke Pasir Gudang dan Seksyen Senai ke Kulai arah utara serta selatan," katanya selepas lawatan kerja Pejabat Operasi Plaza Tol Pagoh, Lebuh Raya PLUS, di sini, pada Jumaat.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, penggunaan Smart Lane ini perlu terutamanya pada musim perayaan, di mana dua hari sebelum Tahun Baru Cina yang lepas, jumlah kenderaan menggunakan lebuh raya sebanyak 2.04 juta.

“Saya juga nasihatkan laluan kecemasan ini bukan eksklusif kepada mana-mana jenis kenderaan, ia boleh diguna oleh motosikal, untuk kenderaan rosak, untuk operasi menyelamat dan juga sebagai Smart Lane di waktu tertentu termasuk perayaan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Ahmad menyatakan Kementerian Kerja Raya (KKR)) menyokong menambah stesen pengecas EV serta mengaplikasikan penggunaan tenaga solar di kawasan rehat di lebuh raya.

Katanya, buat masa ini terdapat 32 stesen pengecas EV di lebuh raya dan syarikat konsesi lebuh raya akan menambah 30 lagi stesen pengecas EV.

Artikel Berkaitan:

“Selain menambah stesen pengecas EV di lebuh raya, kerja naik taraf yang lain yang dilakukan adalah menambah baik kemudahan di kawasan rehat, tandas, penyelenggaraan jalan dan perabot jalan,” katanya.