Polis buru suspek lastik lori di lebuh raya

Muhamad Zaki (dua dari kanan) semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu pada Rabu.
Muhamad Zaki (dua dari kanan) semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan sedang memburu suspek yang terlibat melastik lima buah lori menggunakan batu dalam kejadian di Kilometer 46 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berdekatan Kampung Kemuning, Machang pada Selasa.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 hingga 12 tengah malam itu dipercayai berlaku gara-gara dakwaan melarang sebarang pergerakan berlaku melibatkan lori sempena demonstrasi menyatakan bantahan terhadap tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, susulan itu satu siasatan sedang dilakukan untuk mengenal pasti sama ada kejadian terbabit mempunyai kaitan dengan isu mogok yang dianjurkan oleh pemilik lori di Kota Bharu sebelum ini.

"Operasi mengesan suspek yang terlibat sedang dijalankan.

"Empat daripada lima lori yang dilastik membawa muatan ubat dari Pengkalan Chepa ke Kuala Lumpur dan mengalami kerosakan retak di bahagian cermin hadapan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, sebuah lagi kenderaan melibatkan lori yang tidak mempunyai muatan dari Kota Bahru ke Ipoh, turut mengalami kerosakan retak di bahagian cermin hadapan.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati kawasan kejadian merupakan laluan lebuh raya.

Muhamad Zaki memberitahu, lokasi tersebut juga gelap dan tiada lampu jalan.

Artikel Berkaitan: