KWSP bersasar: Kenyataan Ahmad Maslan angkuh - Wan Saiful

Wan Saiful dan Ahmad Maslan
Wan Saiful dan Ahmad Maslan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa kerajaan tidak bercadang melaksanakan sekali lagi pengeluaran bersasar daripada dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disifatkan sebagai angkuh.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pengenalan Akaun 3 iaitu akaun fleksibel membayangkan kerajaan hari ini tidak mendengar rintihan rakyat susah.

"Berdasarkan kepada kenyataan Ahmad itu, jelas bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menerus gagal memahami situasi dihadapi pencarum KWSP yang terkesan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, adalah tidak masuk akal Akaun 3 yang mula diperkenalkan tahun hadapan akan melegakan kesusahan dihadapi rakyat.

"Mereka sedang susah sekarang," katanya.

Wan Saiful berkata, lebih menyedihkan pencarum merayu mengeluarkan wang tabungan mereka sendiri dan bukan wang kerajaan.

"Pengeluaran bersasar ini tiada kos kepada kerajaan.

"Malangnya nak guna duit sendiri pun nampaknya kerajaan tidak benarkan," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa, pengenalan akaun fleksibel sebenarnya merupakan pengakuan kerajaan bahawa Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) yang diperkenalkan tahun lepas gagal teruk dan langsung tidak membantu rakyat secara hakiki.

"Ada di antara mereka yang perlu menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan segera.

"Ada yang kereta kena tarik, rumah kena lelong, kena halau dari rumah sewa malah lebih meruncing, dikejar oleh ceti haram.

"Adalah tidak munasabah pembukaan Akaun 3 akan menyelesaikan situasi sukar pencarum-pencarum ini sedangkan, pengeluaran bersasar akan membolehkan pencarum menyelesaikannya serta merta. Bukankan itu lebih baik?" soalnya.

Pada Isnin Ahmad menjelaskan, kerajaan sedang memuktamadkan akses pengeluaran bagi akaun fleksibel KWSP mulai tahun hadapan.

Bagaimanapun kaedah dan peratusan simpanan akaun fleksibel belum diputuskan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!