X

Kindly register in order to view this article
!

Terselamat dihempap dahan pokok

Fatimah menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak akibat kejadian itu semalam.
A
A

KUALA PILAH - Seorang ibu tunggal di Kampung Solok Gediu, Inas bernasib baik apabila terselamat dalam kejadian dahan pokok durian menghempap rumahnya semalam.

Mangsa, Fatimah Samsudin, 66, berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam kira-kira 10.30 pagi ketika dia berada di warung sebelum dimaklumkan dahan pokok berusia lebih 80 tahun patah dan menimpa rumah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) itu.

"Ketika itu saya sedang bersarapan di warung tidak jauh dari rumah dengan jarak sekitar 100 meter sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat.

"Tidak lama kemudiannya, jiran datang memaklumkan rumah saya musnah dihempap dahan pokok," katanya ketika ditemui hari ini.

Fatimah menunjukkan dahan pokok yang telah dipotong
Fatimah menunjukkan dahan pokok yang telah dipotong

Fatimah yang mendiami rumah PPRT itu sejak sembilan tahun lalu turut berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan segera semalam.

"Jika saya berada di rumah ketika kejadian, tidak tahulah apa yang berlaku kepada saya dan yakin ada hikmah di sebalik kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Dingkir, Inas Hasnan Tunggal ketika ditemui berkata, pokok berkenaan dipercayai telah reput.

“Sejurus kejadian, pelbagai pihak seperti Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung telah bergotong-royong melaksanakan kerja pembersihan.

“Dua buah bilik tidur dan sebuah tangki air telah musnah dalam kejadian ini. Difahamkan kerja-kerja pembaikan rumah akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!