CeIO mantapkan usaha SPRM cegah rasuah

Azam (dua dari kiri) menyampaikan Sijil Pentauliahan kepada seorang peserta CeIO sempena Majlis Konvokesyen CeIO kali ke-10 di WTCKL pada Khamis. Foto ihsan SPRM
Azam (dua dari kiri) menyampaikan Sijil Pentauliahan kepada seorang peserta CeIO sempena Majlis Konvokesyen CeIO kali ke-10 di WTCKL pada Khamis. Foto ihsan SPRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menggalas amanah besar dan kritikal menyediakan wadah pendidikan pencegahan rasuah dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tanggungjawab tersebut merupakan satu agenda terpenting kerajaan memperkasakan integriti di negara ini.

Beliau berkata, usaha-usaha tersebut tidak hanya tertumpu kepada perkhidmatan awam semata-mata, malah turut melibatkan sektor swasta, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di seluruh Malaysia.

"Untuk itu, penganjuran Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang dianjurkan sejak 2010 adalah langkah tepat meningkatkan integriti masyarakat.

"Untuk rekod, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia melalui Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC) telah melatih seramai 2,512 orang CeIO awam, swasta, GLC dan antarabangsa sehingga 2023," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen CeIO kali ke-10 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki (tengah) bersama Azam (dua dari kiri) sempena Majlis Konvokesyen CeIO kali ke-10 di WTCKL pada Khamis. Foto ihsan SPRM
Mohd Zuki (tengah) bersama Azam (dua dari kiri) sempena Majlis Konvokesyen CeIO kali ke-10 di WTCKL pada Khamis. Foto ihsan SPRM

Mengulas lanjut, Azam berkata, satu soal selidik telah dijalankan oleh Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) dan Ahli Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB) pada 2023, bertujuan menentukan kadar keberkesanan fungsi dan peranan CeIO serta mendapatkan maklum balas berkenaan isu yang dihadapi oleh CeIO di tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, dapatan daripada kajian itu menunjukkan bahawa terdapat peratusan tinggi dalam pengiktirafan jabatan terhadap fungsi dan kepentingan CeIO iaitu sebanyak 80.9 peratus.

Berdasarkan kajian tersebut, katanya, sebanyak 65.6 peratus responden bersetuju bahawa kehadiran CeIO di tempat kerja amat berkesan dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan pelanggaran etika dan pencegahan rasuah meliputi sektor awam, swasta dan GLC.

"Ternyata, kelangsungan pelaksanaan program CeIO sehingga ke hari ini membuktikan bahawa program ini masih relevan dan signifikan dalam agenda pencegahan rasuah di Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, seramai 481 peserta yang terdiri daripada pegawai sektor awam iaitu daripada pelbagai kementerian, badan berkanun, agensi kerajaan, GLC serta sektor swasta telah diraikan dalam istiadat konvokesyen itu.

Pada majlis tersebut, peserta dikurniakan Sijil Pentauliahan terdiri daripada mereka yang menghadiri 10 siri program CeIO yang diadakan sepanjang 2022 dan 2023.

Program CeIO telah bermula pada 2010 selaras dengan arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009.

Pegawai yang dilatih tersebut akan berperanan dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan keberkesanan program integriti serta sebagai pemangkin membudayakan kerja integriti, pencegahan rasuah dan penyelewengan serta salah guna kuasa.

Ia bukan sahaja tertumpu kepada penjawat awam tetapi pekerja di sektor swasta dan GLC.