Kedah rapatkan jurang digital luar bandar, bandar

Mohd Azam Abd Samat
Mohd Azam Abd Samat
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri berharap peratusan ketidakcapaian internet dapat diminimumkan menjelang tahun hadapan selepas pemasangan 313 Point Of Presence (POP) gentian optik meliputi 12 daerah di negeri ini.

Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah, Mohd Azam Abd Samat berkata, pelaksanaan projek POP fasa dua ini sudah pasti memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini, khususnya merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.

Menurutnya, projek bernilai RM252 juta oleh Kerajaan Persekutuan ini akan melengkapkan jaringan gentian optik di Kedah yang mana tempoh kontrak adalah selama lapan tahun.

“Projek penyediaan dan penyelenggaraan POP fasa dua memfokus kepada hab infrastruktur gentian optik berhampiran sekolah, kawasan perindustrian, premis kerajaan dan komuniti sekitar.

“Apex Communication dilantik untuk menguruskan projek ini di Kedah, saya harapkan ia akan memberi manfaat terbaik untuk negeri ini,” katanya di sini pada Khamis.

Mohd Azam berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan projek berkenaan lancar dan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Projek ini melibatkan tanah, secara tidak langsung melibatkan kerajaan negeri, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan lain.

"Disebabkan itu semua agensi terlibat telah diberikan taklimat berkaitan agar mendapat maklumat tepat.

Artikel Berkaitan:

“Kita amat mengalu-alukan projek seperti ini bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat manfaat telekomunikasi terbaik, bertepatan dengan Pelan Pembangunan Infrastruktur Jaringan Telekomunikasi dan Digital dalam teras Pelan Pembangunan Kedah 2035,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sebelum ini, pemasangan POP fasa satu bertumpu di 55 kawasan industri dengan penyediaan fiber optik untuk premis berkenaan.

“Untuk fasa dua tumpuan di 313 lokasi berhampiran sekolah dan pemasangan dilakukan di luar pagar sekolah dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan memasang alat tersebut pada tiang elektrik.

“Ia dilakukan sekitar 100 meter daripada lokasi premis bagi membolehkan akses kepada talian internet dapat dicapai, khususnya memanfaatkan kawasan luar bandar yang menjadi tumpuan dalam menaik taraf perkhidmatan jalur lebar” jelasnya.

Mohd Azam yakin projek yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun depan itu tidak berdepan halangan berikutan semua agensi telah memberikan kerjasama sebaiknya.

“Pemantauan selama lima tahun dan dalam tempoh itu, diharap semua lokasi POP dapat berfungsi dengan lancar untuk manfaat penduduk sekitar, terutama sekolah terpilih dalam pemasangan perlatan ini.

“Kita juga semua agensi terlibat akur pada pematuhan peraturan yang perlu dipatuhi dalam melaksanakan projek ini,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28