El Nino: KADA peruntuk RM6 juta atasi kemarau

Mohd Faizul (tengah) menerangkan sesuatu kepada peserta yang hadir pada Majlis Penyampaian Pam 'backward' di Pejabat KADA Jajahan Kota Bharu Selatan.
Mohd Faizul (tengah) menerangkan sesuatu kepada peserta yang hadir pada Majlis Penyampaian Pam 'backward' di Pejabat KADA Jajahan Kota Bharu Selatan.
A
A
A

KOTA BHARU - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperuntukkan RM6 juta sebagai persediaan awal berdepan masalah kemarau yang dilihat boleh mengganggu bekalan air sepanjang tempoh El Nino.

Pengurus Besarnya, Mohd Faizul Mustafa berkata, peruntukan itu bertujuan menyediakan pam 'backward', telaga tiub, pam kitar semula, pam mudah alih serta beberapa keperluan lain termasuk bahan api diesel serta petrol.

"Peruntukan berkenaan membabitkan pelbagai kaedah dan langkah bagi memastikan seluruh kawasan padi di bawah seliaan agensi tersebut tidak terjejas sekiranya berdepan El Nino.

"Keseluruhan peruntukan membabitkan pam 'backward' adalah sebanyak RM400,000 termasuk peruntukan tambahan, telaga tiub (RM500,000) serta RM1.8 juta untuk kos diesel dan petrol dalam tempoh setahun," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Mohd Faizul (kanan) turut sama mengangkat salah satu peralatan pam backward.
Mohd Faizul (kanan) turut sama mengangkat salah satu peralatan pam backward.

Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Penyampaian Pam 'backward' di Pejabat KADA Jajahan Kota Bharu Selatan di sini.

Menurut Mohd Faizul, penggunaan pam kitar semula melibatkan kos berbeza di setiap lokasi.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapat peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebanyak RM800,000 untuk pam mudah alih selain membaiki pam yang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sebanyak 25 unit pam 'backward' telah diagihkan kepada petani-petani yang terlibat di jajahan Kota Bharu Selatan.

"KADA juga telah melaksanakan persediaan awal sejak Oktober tahun lalu untuk menghadapi fenomena El Nino.

"Langkah-langkah awal yang dilakukan oleh KADA termasuklah memberi kesedaran kepada petani untuk melaksanakan penanaman mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.

Kakitangan KADA memberi penerangan kepada Mohd Faizul (kanan) berkaitan persiadaan El Nino.
Kakitangan KADA memberi penerangan kepada Mohd Faizul (kanan) berkaitan persiadaan El Nino.

Menurut Mohd Faizul, untuk tahun ini pihaknya mensasarkan sebanyak 4.5 tan metrik sehektar setahun berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan sebanyak 4.2 tan metrik sehektar, namun hanya berjaya mencapai 3.9 tan metrik.

Ujarnya, untuk tahun ini KADA mampu meningkatkan hasil dan mencapai sasaran menerusi langkah-langkah awal yang dilakukan bagi mengurangkan risiko bila masuk musim kemarau.