Bekas mudir tidak mengaku lakukan seks luar tabii

Tertuduh (kiri, depan) diiringi pegawai polis ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada pagi Khamis.
Tertuduh (kiri, depan) diiringi pegawai polis ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada pagi Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Bekas mudir sebuah sekolah agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap rakannya pada Januari lalu.

Lelaki berusia 41 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang penuntut berusia 20 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium di Lorong Perda 3, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 3.48 petang pada 26 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta diwajibkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Selain itu, mahkamah juga menetapkan 22 Mac depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: