Perkongsian strategik perkukuh peranan UDA bantu perkasa pendidikan

Mohd Salem (tiga dari kanan) dan Azimuddin (tiga dari kiri) bertukar dokumen MoU yang ditandatangani dalam majlis yang berlangsung di NBUC, Kota Kinabalu pada Khamis.
Mohd Salem (tiga dari kanan) dan Azimuddin (tiga dari kiri) bertukar dokumen MoU yang ditandatangani dalam majlis yang berlangsung di NBUC, Kota Kinabalu pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) menjalinkan kerjasama dengan Kolej Universiti Borneo Utara (NBUC) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Khamis.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, MoU ini sebagai inisiatif positif bagi pemindahan ilmu dan kepakaran UDA dalam bidang pembangunan hartanah termasuklah hartanah wakaf serta pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti.

Menurutnya, melalui pemeteraian MoU ini, UDA sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) komited memperkasa sektor pendidikan dengan menyediakan peluang baharu dalam penyediaan latihan, pendidikan dan pengalaman industri kepada pelajar serta tenaga kerja NBUC.

"Perkongsian strategik antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan industri seumpama ini juga dapat memberikan pemahaman yang lebih berkesan berhubung 'trend' dan amalan industri masa kini terutama dalam pembangunan hartanah serta pengurusan aset yang dilaksanakan oleh UDA.

"Dengan pengalaman yang melangkaui beberapa dekad, input ini boleh digunakan sebagai rujukan bagi mengukuhkan lagi pengetahuan industri kepada bakal graduan Kubu dan berupaya menambah baik sukatan pelajaran dan perkongsian pengalaman antara kedua-dua pihak," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU di NBUC di sini pada Khamis.

Katanya lagi, UDA bersedia menawarkan latihan industri dan nasihat kepakaran kepada pelajar serta pensyarah NBUC dalam bidang berkaitan tertakluk kepada terma dan syarat agar dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

"Perkara ini juga memenuhi keperluan peningkatan kemahiran industri untuk generasi baharu dan akan datang," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Salem berharap MoU yang dimeterai antara NBUC dan UDA ini berupaya memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, dapat memacu tenaga kerja agar selari dengan peningkatan berterusan dalam sektor pekerjaan yang dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara, dan seterusnya menuju ke arah pemerkasaan ekonomi Madani," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor NBUC, Profesor Datuk Sr Dr Azimuddin Bahari berkata, menerusi MoU ini bukan saja memberi manfaat kepada penuntut institut ini tetapi juga memberi peluang kepada kakitangan UDA yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat seterusnya di NBUC.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28