RM6 juta bina sekolah sementara berhampiran SK Perigi Acheh

SK Perigi Acheh di Pasir Gudang akan dirobohkan berikutan bahagian lantai dan bangunannya sudah reput selain struktur tanahnya bermasalah.
SK Perigi Acheh di Pasir Gudang akan dirobohkan berikutan bahagian lantai dan bangunannya sudah reput selain struktur tanahnya bermasalah.
A
A
A

PASIR GUDANG - Sebuah sekolah rendah sementara akan dibina berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh, di Kampung Perigi Acheh di sini dengan kos kira-kira RM6 juta dalam tahun ini.

Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, pembinaan sekolah sementara itu akan bermula pada Jun ini dan dijadualkan siap serta dapat beroperasi pada awal tahun 2025.

"Pembinaan sekolah sementara itu diputuskan selepas pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan struktur bangunan lama dan tanah di SK Perigi Acheh tidak lagi selamat sebelum ditutup pada 30 Julai 2021 dan sejak itu murid-muridnya menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Langsat.

"Perancangan asal pihak JKR mencadangkan menggunakan kontena sebagai platform untuk bangunan sementara tetapi melihatkan kesulitan dalam pengangkutan barang logistik, mereka membuat keputusan agar pembinaan bangunan sementara ini menggunakan 'skeleton frame' dan 'simen board'.

"Bangunan sekolah sementara ini boleh bertahan dan digunakan antara tujuh sehingga sembilan tahun," katanya kepada pemberita selepas melawat SK Perigi Acheh pada lewat petang Rabu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad.

Pada April tahun lalu, sekumpulan ibu bapa kepada murid di sekolah tersebut melakukan piket dan mendesak pihak berkaitan supaya segera menaik taraf atau membina sekolah yang baharu selepas dua tahun SK Perigi Acheh dikosongkan.

Menurut mereka, SK Perigi Acheh yang mula beroperasi sejak 1999 merupakan satu-satunya sekolah di kampung berkenaan dan mereka terpaksa membelanjakan RM50 hingga RM60 sebulan seorang untuk tambang bas ke SK Tanjung Langsat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Aznan berkata, pada masa sama Jabatan Pendidikan Negeri Johor sedang memohon dengan Kementerian Pendidikan pembinaan sekolah baharu di tapak asal SK Perigi Acheh.

Katanya, semua bangunan dan struktur asal SK Perigi Acheh akan dirobohkan dan struktur tanahnya akan dinaiki sebelum memberi laluan pembinaan sekolah baharu dengan enam kelas yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

Aznan (kiri) bersama-sama Mohd Hanafi dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Johor berbincang mengenai pembinaan sekolah baharu atas tapak SK Perigi Acheh, Pasir Gudang pada lewat petang Rabu.
Aznan (kiri) bersama-sama Mohd Hanafi dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Johor berbincang mengenai pembinaan sekolah baharu atas tapak SK Perigi Acheh, Pasir Gudang pada lewat petang Rabu.

ADUN Tanjung Surat itu memaklumkan kerajaan negeri juga akan memastikan permohonan pembinaan bangunan baharu untuk jangka masa panjang itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Aznan memberitahu, ketika ini seramai 95 murid dan 12 guru SK Perigi Acheh masih ditempatkan di SK Tanjung Langsat iaitu kira-kira 5 kilometer dari kampung tersebut.

Kerajaan negeri katanya, bersetuju memperuntukkan RM50,000 bagi menyediakan bas sekolah untuk murid SK Perigi Acheh ke SK Tanjung Langsat untuk sesi persekolahan tahun ini yang bermula Mac ini.

Ditanya perkembangan sekolah-sekolah yang dilanda banjir baru-baru ini, beliau memberitahu, lapan sekolah rendah terbabit yang kebanyakannya di Kota Tinggi sudah pun dibaik pulih melibatkan kos hampir RM300,000.

Selain itu kata Aznan, pihaknya sedang membuat semakan jumlah sekolah lain yang perlu dibaik pulih.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!