'JDT tak akan selalunya di atas'

Pemain JDT meraikan kemenangan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 2023. Foto Bernama (Gambar kecil: Mohd Sadek)
Pemain JDT meraikan kemenangan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 2023. Foto Bernama (Gambar kecil: Mohd Sadek)
A
A
A

SINDIRAN berterusan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim perlu diambil sebagai satu cabaran besar oleh setiap pasukan terutama Selangor FC untuk cuba mengatasi pasukan Harimau Selatan itu.

Penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, sindiran daripada pasukan adalah perkara biasa dalam bola sepak moden dengan JDT sememangnya dikenali dengan rekod luar biasa dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, beliau percaya JDT tidak akan selalunya berada di atas dan akan turut menghadapi waktu merudum yang menyaksikan ada pasukan lain termasuk Selangor yang mampu mengatasi mereka.

"Ini adalah perang psikologi yang cuba dimainkan oleh JDT mencabar pasukan lain untuk menewaskan JDT. Ini sebahagian asam garam dalam bola sepak moden ketika ini.

"Namun, orang yang berada di atas tidak semestinya akan sentiasa berada di atas, satu hari nanti mereka akan turun juga.

"Kita tengok seperti Barcelona dan Manchester United apabila mereka bergelut dengan perbelanjaan yang besar, pertukaran pemain dan jurulatih, tetapi tidak berjaya untuk membawa mereka balik ke era emas meraka.

"Ia bukti berlaku (Barcelona dan United) dan tidak mustahil ia boleh berlaku dalam saingan Liga Malaysia," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim beberapa kali menyindir Selangor dan terbaharu menyifatkan kejayaan gergasi merah mara ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) atas hasil bantuan mata AFC MA Ranking yang diraih skuad Harimau Selatan itu.

Artikel Berkaitan:

Malah, Tunku Ismail juga menegaskan JDT tidak pernah kalah dalam lapan tahun terakhir kepada Selangor.

Video pengenalan penyerang baharu mereka, Romel Morales juga seakan-akan menyindir Selangor apabila visual memaparkan cili benggala merah dan kuning yang dimasak sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Dalam pada itu, Mohd Sadek juga mengharapkan Selangor tidak 'sentap' selain terus memperkasakan pasukan bagi menjadi pencabar utama JDT.

'Persengketaan' JDT Selangor ini perlu diambil dari sudut positif. Mereka (Selangor) dan juga pasukan lain perlu untuk membuktikan mereka juga bagus untuk memastikan tidak terus menjadi mangsa JDT," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28