Dua parti utama Pakistan setuju bentuk kerajaan campuran - Laporan

Presiden PML-N Shehbaz Sharif akan dicalonkan semula untuk jawatan perdana menteri bagi tempoh satu penggal lagi selepas jawatankuasa penyelarasan kedua-dua parti mencapai kata sepakat pada Selasa. Foto AFP
Presiden PML-N Shehbaz Sharif akan dicalonkan semula untuk jawatan perdana menteri bagi tempoh satu penggal lagi selepas jawatankuasa penyelarasan kedua-dua parti mencapai kata sepakat pada Selasa. Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Dua parti utama Pakistan di Senat iaitu Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) akhirnya mencapai persetujuan membentuk kerajaan campuran, lapor Sputnik memetik media tempatan pada Rabu.

Persetujuan itu dicapai susulan pilihan raya umum yang berlangsung pada 8 Februari lalu.

Presiden PML-N Shehbaz Sharif akan dicalonkan semula untuk jawatan perdana menteri bagi tempoh satu penggal lagi selepas jawatankuasa penyelarasan kedua-dua parti mencapai kata sepakat pada Selasa, lapor stesen penyiaran Pakistan Geo News.

Sementara itu, pengerusi bersama PPP dan bekas presiden Asif Ali Zardari akan dicalonkan bagi jawatan presiden bagi tempoh satu penggal lagi.

Bagaimanapun, berdasarkan formula perkongsian kuasa, PPP tidak akan menjadi sebahagian daripada Kabinet Sharif, namun berpeluang mendapat jawatan tertinggi dalam perlembagaan, lapor penyiar memetik sumber.

Secara khususnya, PPP dijangka memperoleh jawatan presiden, pengerusi Senat, ketua menteri Balochistan dan timbalan speaker Dewan Negara antara lain.

Sementara itu, PML-N Akan mendapat jawatan perdana menteri, speaker Dewan Negara dan mencalonkan gabenor bagi wilayah Sindh dan Balochistan.

Pengumuman itu dibuat selepas ketidaktentuan yang berlanjutan kira-kira dua minggu apabila negara kekal tanpa tampuk pimpinan baharu di tengah-tengah krisis ekonomi, bencana alam pada awal 2023 dan kadar inflasi yang tinggi. - Bernama-Sputnik

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28