DSAIN bakal dilaksanakan pada 2025 - Ahmad Maslan

Ahmad
Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya akan melaksanakan Dasar Selenggara Aset Infrastruktur Negara (DSAIN) menjelang 2025, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya penyelenggaraan aset infrastruktur dalam kalangan rakyat dan organisasi di negara ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dasar ini direka untuk memupuk sikap penyelenggaraan yang berkesan bagi memastikan kelestarian bangunan serta memberi keselesaan kepada rakyat.

Katanya, menerusi dasar itu, keutamaan diberikan kepada pengurusan fasiliti, tidak hanya untuk bangunan di bawah pentadbiran kerajaan tetapi juga sektor swasta yang merangkumi pelbagai jenis bangunan seperti rumah, menara, sekolah, serta infrastruktur jalan raya, lebuh raya, jambatan, dan cerun.

"Dasar ini dirancang agar ada minda penyelenggaraan dalam memastikan bangunan yang dibina dapat diselenggara dengan baik agar jangka hayatnya panjang dan bermanfaat selain memberi keselesaan kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan seminar Antarabangsa Persatuan Pengurusan Fasiliti Malaysia (MAFM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), sebanyak 14,398 projek bernilai RM138.44 bilion telah dilaksanakan pada 2023 dan 514 projek bernilai RM5 bilion telah dianugerahkan sehingga 31 Januari lepas.

Mengulas mengenai pendigitalan dalam profesion Pengurusan Fasiliti (FM), Ahmad Maslan berkata, industri ini masih dalam peringkat awal berbanding sektor pembinaan dan automotif.

"Dengan perkembangan teknologi pendigitalan, FM perlu lebih fleksibel seiring dengan keperluan pasaran untuk kekal relevan.

"Menerusi kemajuan teknologi digital seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Analisis Data Raya (Big Data), Model BIM 6D dan Realiti Maya (Virtual Reality), FM hendaklah berkolaborasi dengan profesional pembinaan lain untuk berkongsi dan menyediakan input secara langsung kepada sistem kecerdasan pintar, sekali gus membolehkan maklum balas diperoleh dengan efisien,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: