Pari 3.8kg bawa tuah buat Mohamad Aizat

Kelvin (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Cuti-Cuti Malaysia Shimano Surfcasting di MITC, Melaka.
Kelvin (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Cuti-Cuti Malaysia Shimano Surfcasting di MITC, Melaka.
A
A
A

MELAKA - Ikan pari seberat 3.8 kilogram membawa tuah kepada Mohamad Aizat Dolmi apabila ditabalkan juara Cuti-Cuti Malaysia Shimano Surfcasting di Pantai Tambak Klebang, di sini baru-baru ini.

Beliau menewaskan Ahmad Fakhrur Razi Afandi dari Pahang yang menaikkan pari 2.210 kilogram (kg) dan Muhammad Farid Ariffin yang menaikkan siakap 2.195kg serta seramai 1,021 peserta lain dalam pertandingan itu.

Dengan kemenangan itu, Mohamad Aizat membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 manakala Ahmad Fakrur Razi berpuas hati dengan RM7,000 dan Muhammad Farid menerima RM3,000.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Pemasaran Shimano Asia yang berpangkalan di Singapura, Kelvin Yiu serta Pengurus Besar Joran Unggul Event Management, Amir Ali Mohamad.

Pertandingan anjuran bersama Shimano dan Joran Unggul itu adalah kali keenam dianjurkan di negara ini dengan sokongan Tourism Malaysia.

Sebahagian daripada peserta pertandingan memancing di Pantai Tambak Klebang baru-baru ini.
Sebahagian daripada peserta pertandingan memancing di Pantai Tambak Klebang baru-baru ini.

Hadiah wang tunai keseluruhan ditawarkan adalah sebanyak RM100,000, manakala Shimano menawarkan pelbagai barangan peralatan memancing bernilai RM82,150.00.

Terdahulu, majlis pelepasan pertandingan disempurnakan Mr Osuka dari Jepun bersama Amir Ali, tepat jam 8.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Acara memancing diadakan di Tambak Klebang, manakala penyampaian hadiah utama diadakan di Dewan Malacca International Trade Centre (MITC), Melaka.

Mohd Aizat berkata, beliau bertuah kerana berjaya menewaskan lebih 1,000 peserta lain dalam pertandingan itu.

“Berbekalkan umpan udang hidup, memang sasaran saya ialah spesies ikan pari.

"Alhamdulillah saya berjaya menjinakkan ikan ini. Malah saya sangat bertuah apabila ikan yang saya pancing hanya lebih 1.5kg daripada ikan di kedudukan kedua.

“Ini kemenangan terbesar pernah saya raih sejak aktif menyertai pertandingan memancing beberapa tahun lalu,’’ katanya.

Pertandingan memancing Shimano Surfcasting adalah acara tahunan Shimano South East Asia yang berpangkalan di Singapura bagi mempromosikan produk baru peralatan memancing yang dikeluarkan gergasi peralatan memancing dunia itu.

Tahun hadapan, Shimano akan sekali lagi menganjurkan acara ini di mana lokasi pilihan adalah di Pahang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28