Memahami proses Pemilu Indonesia

Rakyat Indonesia menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Rakyat Indonesia menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
A
A
A

PERATURAN pemilihan umum (Pemilu) Indonesia menghadkan hanya 300 nama pemilih atau pengundi bagi setiap tempat pembuangan suara (TPS) atau pos mengundi.

Maka itu untuk memberi ruang kepada 203,056,748 pengundi di Indonesia (dari sejumlah 204,807,222 keseluruhannya termasuk yang berdaftar di luar negara). Komisi Pemilihan Umum (KPU) harus menyediakan 820,161 TPS.

KPU adalah badan yang mengendalikan Pemilu Indonesia.

Di kota besar seperti Jakarta misalnya bagi setiap 200 meter terdapat sebuah TPS. Di desa-desa pedalaman, terdapat tidak kurang lapan buah TPS.

TPS ini tidak perlu ditempatkan di sekolah seperti kita, sebaliknya di mana sahaja ada ruang termasuk binaan sementara. TPS ini selalunya kurang daripada lima minit berjalan bagi penghuni sesuatu tempat atau beberapa minit dengan motosikal sekiranya di desa.

Oleh sebab itu proses pembuangan undi dihadkan dari jam 7.00 pagi hingga 1.00 tengah hari sahaja. KPU menggunakan lebih 1.7 juta orang petugas di 38 provinsi, 514 kabupaten dan kota, 7,277 kecamatan (mukim) dan 83,731 buah desa dan kelurahan di seluruh Indonesia.

Prabowo yang bergandingan dengan anak sulung Presiden Jokowi, Gibran mendahului persaingan Pilpres 2024.
Prabowo yang bergandingan dengan anak sulung Presiden Jokowi, Gibran mendahului persaingan Pilpres 2024.

Indonesia merupakan demokrasi ketiga terbesar di dunia selepas India dan Amerika Syarikat (AS). Jumlah pengundi yang sebegitu banyak menyebabkan Pemilu Indonesia kompleks dan unik.

Artikel Berkaitan:

Kawasan yang mempunyai pengundi yang paling banyak adalah Jawa Barat (termasuk Jakarta) yang mencatatkan 35.7 juta, lebih besar dari penduduk Malaysia. Jawa Timur mempunyai 31.4 juta pengundi sementara Jawa Tengah mempunyai 28.2 juta pengundi.

Pulau Jawa sahaja merekodkan 95.3 juta pengundi berdaftar. Papua Selatan mempunyai jumlah pengundi paling sedikit iaitu 367,269 orang.

Dalam Pemilu Indonesia 2024, terdapat lebih 40 peratus pengundi dalam ketegori Generasi Z dan millennials, terbanyak dalam sejarah negara itu. Mereka yang berusia 17 tahun secara automatik menjadi pemilih.

Mengambil kira bilangan pengundi muda yang begitu ramai maka media sosial, khususnya aplikasi TikTok menjadi gelanggang kempen yang sangat penting.


Rakyat Indonesia di Tawau, Sabah, menunaikan tanggungjawab mengundi.
Rakyat Indonesia di Tawau, Sabah, menunaikan tanggungjawab mengundi.

Tiga pasangan calon (paslon) yang merebut jawatan presiden dan wakil presiden adalah Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar, Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD.

Agak unik bagi Indonesia, seorang calon presiden (capres) tidak perlu datang dari mana-mana parti politik. Anies Baswedan sendiri bukan dari mana-mana parti.

Bagaimanapun beliau didukung oleh gabungan beberapa buah parti, yang utama adalah Parti Nasional Demokrat (Nasdem) yang dipimpin oleh Surya Paloh dan beberapa buah parti kecil seperti Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Ummat dan Parti Masyumi.

Parti Demokrat yang pada mulanya menyokong Anies menarik diri apabila Anies membawa Muhaimin Iskandar sebagai calon wakil presiden (cawapres).

Parti-parti pendukung Anies Baswedan membentuk Koalisi Perubahan untuk Persatuan (KPP). Cawapresnya Muhaimin Iskandar adalah ketua PKB.

Pada waktu yang sama terdapat 9,900 calon untuk mengejar 525 tempat di Parlimen Indonesia (Dewan Perwakilan Rakyat atau DPR), selain ribuan lain yang mahu mengisi 2,372 tempat untuk dewan perwakilan peringkat provinsi dan 15,510 tempat pada peringat munisipal dan daerah.

Kesemuanya terdapat 18 buah parti yang bertanding.

KPU terpaksa menyediakan 2,749 reka bentuk kertas undi yang berbeza untuk memberi ruang bilangan mereka yang bertanding.

Sayugia diingat, tidak seperti kita yang menggunakan alat tulis untuk memangkah, pengundi Indonesia menggunakan semacam paku besar yang disediakan untuk menyocok wajah calon yang mereka kehendaki.

Istilah yang digunakan adalah mencoblos dari perkataan Jawa yang bermaksud “menusuk hingga tembus.” Coblos sudah disama-ertikan dengan mengundi hari ini.

Setiap helaian kertas mengandungi nama-nama calon yang bakal dipilih, tiap helai menunjukkan foto calon-calon, helaian pertama tentunya adalah paslon untuk presiden dan timbalannya.

Ada kalanya pengundi berdepan dengan lima helaian kertas sebesar poster.

Mungkin disebabkan banyak TPS maka proses pengundiannya ringkas dan cepat.

Proses mengundi yang saya perhatikan di beberapa buah desa di Kabupaten Cilacap dan Kabupaten Kebumen di Jawa Tengah, semacam kesempatan bersosialisasi bagi penduduk. Pesta demokrasi menjadi pesta pertemuan rakyat.

Saya perhatikan di sebalik riuh rendah udara permusuhan dan perlawanan yang hebat, serta debat yang panas di pelbagai ruang bicara TV serta kenyataan para calon dan jurucakap calon (jubir), proses pengundian selalunya aman.

Indonesia sentiasa mencatatkan peratusan keluar mengundi yang paling tinggi di dunia, selalunya mencecah 80 peratus walaupun mengundi tidak diwajibkan seperti di sesetengah negara.

Undang-undang Pemilu membenarkan kempen selama 75 hari dari 28 November 2023 hingga 10 Februari 2024. Peraturan Pemilu juga menetapkan tiga hari waktu rehat dari kempen, bagi Pemilu kali ini, bermula dari 11 Februri hingga 13 Februari. 14 Februari adalah hari membuang undi.

Selalunya proses pengiraannya amat kompleks. Dalam kes presiden dan wakil presiden, masanya lebih cepat.

Oleh sebab itu lebih sedikit empat jam dari waktu pengundian ditutup, akhbar Kompas mengisytiharkan, berdasarkan “hitung cepat” atau quick count daripada 2,000 TPS, pemilihan presiden (pilpres) 2024 tidak perlu “dua putaran” atau dua pusingan.

Hal ini tentu menimbulkan kontroversi kerana KPU hanya akan mengumumkan keputusan rasmi pada 20 Mac. Hanya di Indonesia, badan peninjauan suara (pollsters) boleh memenangkan pilihan raya presiden!

Undang-undang pilpres menghendaki mana-mana paslon harus memperoleh 50 peratus undi popular dan sekurang-kurang 20 peratus undi dari separuh 80 provinsi negara itu untuk menang.

Sekiranya ketiga-tiga paslon gagal mencecah angka 50 peratus, maka dua paslon yang mendapat undi terbanyak akan bertanding semula pada bulan Jun 2024.

Nampaknya hal itu tidak berlaku disebabkan paslon Prabowo Subianto – Gibran Rakabuming Raka sudah mencecah lebih 50 peratus.

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau berada di Pulau Jawa untuk mengikuti pemilu Indonesia selama dua minggu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28