SPRM, JAN teruskan usaha kerjasama banteras rasuah

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara (JAN) akan terus meningkatkan kerjasama dalam usaha pembanterasan rasuah dan mempertingkatkan tatakelola agensi kerajaan.

SPRM dan JAN menerusi kenyataan bersama hari ini memaklumkan kerjasama tersebut dicapai menerusi satu Nota Kerjasama baharu yang dimeterai oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam satu majlis yang diadakan di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

"Nota kerjasama baharu ini memberi tumpuan kepada skop kerjasama meliputi aspek program perkongsian maklumat dan pengetahuan serta latihan antara Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Akademi Audit Negara (AAN).

"Instrumen kerjasama yang dinyatakan tersebut penting untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dan persefahaman yang lebih relevan supaya usaha pembangunan modal insan pegawai dan pembanterasan rasuah termasuk perihal tatakelola agensi-agensi kerajaan dapat dipertingkatkan dengan berkesan,” menurut kenyataan itu yang turut memaklumkan nota itu bagi memperbaharui bentuk kerjasama yang telah termeterai sejak 2012.

Sementara itu, Azam dalam ucapannya berkata, kerjasama berkenaan akan memberi impak yang tinggi terutamanya untuk membantu SPRM dalam menyokong usaha kerajaan ke arah "Negara yang berintegriti dan bebas rasuah”.

"Ini menggambarkan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada JAN untuk membantu SPRM dalam memerangi jenayah rasuah bagi memperbaiki tatakelola pentadbiran, selain dapat mengenal pasti dan membantu mengurangkan ketirisan dalam pentadbiran negara.

"SPRM akan terus mengorak langkah dengan penuh komitmen dan konsisten untuk membanteras amalan rasuah dalam sistem perolehan kerajaan, mengelakkan daripada ketirisan dan memastikan perolehan kerajaan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan," katanya.

Menurut Azam, SPRM dan JAN akan melaksanakan perkongsian maklumat secara berterusan bagi mengukuhkan penglibatan kedua-dua pihak dalam pengesanan awal segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang boleh menjejaskan imej kerajaan, mengancam kesejahteraan masyarakat, melunturkan nilai-nilai integriti, menghalang perkembangan dan pembangunan sosial, ekonomi serta politik negara.

Sementara itu, Wan Suraya ketika berucap turut berharap nota kerjasama itu dapat memperkukuh jaringan kerjasama dua hala kedua-dua institusi kerana masing-masing mempunyai hubungan, peranan dan tanggungjawab yang saling berkait.
Artikel Berkaitan:


"Latihan bersama akan dirangka dan dilaksanakan oleh AAN dan MACA secara kerjasama bersama dalam usaha meningkatkan kompetensi dan kepakaran pegawai kedua-dua pihak secara berterusan,” kata Wan Suraya.

Katanya kedua-dua pihak boleh bekerjasama membantu pegawai yang berminat untuk mengambil kelayakan profesional lain berkaitan pengauditan seperti Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Pemeriksa Fraud Bertauliah (CFE).

Sementara itu, beliau berkata pemeteraian nota kerjasama akan membolehkan kerjasama yang wujud diselaraskan secara sistematik antara pihak-pihak yang terlibat. - Bernama