'Saya bukan cadang gugur atau mansuhkan' - Hassan

Hassan - Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hassan - Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan bahawa beliau tidak mencadangkan Perkara 153 yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak dimansuhkan semasa menyentuh mengenai Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) pada Ahad.

Sebaliknya, apa dimaksudkan beliau ialah pelaksanaan sesebuah dasar untuk bumiputera dilihat tidak berjaya dan tidak sampai kepada golongan sasar dengan matlamat mahu mengubah dan menaik taraf kehidupan golongan tersebut menjadi lebih baik.

Ini kerana katanya, dasar-dasar yang digubal untuk membantu golongan tersebut adalah bagus tetapi pelaksanaanya gagal apabila mereka yang layak tidak mendapat batuan berkenaan sebaliknya dimonopoli ahli keluarga dan kroni daripada elit politik Melayu yang berkuasa ketika itu.

"Saya tidak mencadangkan nak gugurkan atau nak mansuhkan itu (keistimewaan bumiputera mengikut Perkara 153). Tidak. Saya minta teliti (kegagalan pelaksanaan dasar yang dibuat untuk bumiputera), buat perbincangan dulu (punca kegagalannya), apa yang penting bagi saya adalah pelaksanaannya.

"Apa yang ada dalam Perlembagaan dah okay, tak payah sentuh tapi yang kita kena lihat adalah pelaksanaannya.

Hassan (tengah) selepas menyampaikan bakul makanan kepada 30 penerima di Rumah Pangsa Permas Jaya, Pasir Gudang pada Selasa.
Hassan (tengah) selepas menyampaikan bakul makanan kepada 30 penerima di Rumah Pangsa Permas Jaya, Pasir Gudang pada Selasa.

"Perlembangaan dah lebih 60 tahun wujud, pelaksanaan itu yang telah disalahgunakan golongan elit Melayu termasuk di Sabah dan Sarawak untuk kepentingan mereka, hanya mereka yang dapat.

"Maknyanya pelaksanaan itu 'dihijack' dan dimanipulasi dan bukan polisi dalam Perlembagaan yang saya persoalkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bakul makanan kepada 30 penerima di Rumah Pangsa Permas Jaya di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak perlu menyemak Perkara 153 yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak malah menyatakan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Pada Ahad, Hassan dalam satu kenyataan menggesa KEB 2024 yang akan berlangsung dari 29 Februari sehingga 2 Mac ini supaya meneliti sekiranya kedudukan istimewa bumiputera yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan benar-benar memberi manfaat kepada golongan itu.

Menurutnya, sebelum ini sudah ada Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Negara, Wawasan 2020 dan Wawasan Kemakmuran Bersama tetapi mempersoalkan mengapa ekonomi bumiputera masih jauh tertinggal berbanding ekonomi bukan bumiputera.

"KEB 2024 perlu meneliti dengan jujur, satu isu yang amat sensitif tetapi perlu dibincangkan secara ilmiah dan fakta oleh bijak pandai Melayu di Kongres itu nanti.

"Ia supaya dapat menjawab satu persoalan iaitu adakah dasar 'affirmative action' yang dipanggil kedudukan istimewa orang Melayu dan anak pribumi Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan benar-benar telah menolong ekonomi bumiputera atau sebaliknya telah dirampas, dimanipulasi segelintir kelas berkuasa elit bumiputera di Semenanjung dan di Sabah serta di Sarawak untuk kayakan diri mereka sendiri, keluarga mereka, sahabat handai dan kapitalis kroni mereka sendiri," katanya.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, Anwar perlu meneliti kenyataan yang dikeluarkannya berkenaan cadangan KEB 2024 dan perlunya mengkaji keberkesanan pelaksanaan dasar terdahulu serta tidak sama sekali mempersoalkan Perlembagaan Persekutuan.

Dakwanya, apa yang dibangkitkan berkenaan kepincangan pelaksanaan dasar terdahulu itu boleh dilihat bukti-buktinya pada hari ini apabila contohnya bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya mempersoalkan pelaksanaan dasar, ini yang Anwar cakap orang kaya-kaya Melayu merompak dan sakau.

"Mereka gunakan pelaksanaan dasar ini yang sepatutnya peniaga Melayu yang susah ditolong tetapi mereka yang dapat," ujar beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28